Home Semasa Kementerian Pendidikan fokus lima strategi perkasa modal insan – Maszlee

Kementerian Pendidikan fokus lima strategi perkasa modal insan – Maszlee

by Nurulhuda

PUTRAJAYA, 21 Okt – Kementerian Pendidikan (KPM) akan memberi penekanan kepada lima strategi bagi memperkasakan pembangunan modal insan di bawah hala tuju 2018-2020 Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11).

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berkata, lima strategi tersebut ialah usaha meningkatkan kualiti pendidikan, mengutamakan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) berkualiti berbanding kuantiti, memperbaiki pendidikan untuk semua, memastikan industri berkemahiran yang berkaitan dan mempromosikan sumbangan industri.

“Kelima-lima strategi ini akan diberi fokus susulan pembentangan Laporan Kajian Separuh Penggal RMK11 oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad di Parlimen pada 18 Oktober lalu,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Memandangkan pendidikan merupakan sektor penting dalam melahirkan masyarakat holisitik, Maszlee berkata terdapat lebih 50 inisiatif yang akan dilaksanakan di bawah lima strategi tersebut sepanjang tempoh dua tahun akan datang.

Menurutnya ia merangkumi keperluan sektor pendidikan dan pendidikan tinggi susulan penggabungan Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pendidikan Tinggi.

Maszlee berkata antara inisiatif tersebut termasuk meningkatkan kecekapan penjagaan awal kanak-kanak dengan meningkatkan pendidikan penjaga; meningkatkan kompetensi guru dan pemimpin sekolah; menggalakkan perkongsian awam-swasta dalam penyampaian pendidikan; serta mendidik dan mempersiapkan pelajar dengan kekuatan etika dan moral, kebolehan menyelesaikan masalah semasa dan cabaran depan.

Selain itu, memperbaiki proses pendaftaran masuk di tahun satu; menambah baik ruang pembelajaran kepada Bilik Darjah Pintar Pembelajaran Abad ke-21; mempertingkatkan kecekapan bahasa Inggeris mahasiswa dengan pelaksanaan Malaysia English Assessment (MEA); dan meningkatkan tahap penguasaan bahasa Inggeris di sekolah melalui inisiatif Program Dwi Bahasa.

Inisiatif lain ialah memperluaskan pendidikan untuk kanak-kanak berkeperluan khas; menaik taraf sekolah daif di kawasan luar bandar terutamanya di Sabah dan Sarawak; mengurangkan keciciran dalam kalangan pelajar dan mengenal pasti isu kanak-kanak tidak pernah bersekolah; meningkatkan penyertaan masyarakat dalam Kursus Pembelajaran Sepanjang Hayat; dan memperluas Sistem Latihan Dual Nasional.

“Kesemua inisiatif yang telah digariskan akan dilaksanakan dengan tersusun bagi mencapai matlamat yang dihasratkan kerajaan dan harapan rakyat,” katanya.

Maszlee berkata Ketua Setiausaha KPM Datuk Dr Mohd Gazali Abas akan mengetuai jawatankuasa yang telah ditubuhkan untuk memantau pelaksanaan inisiatif yang telah digariskan. – BERNAMA

Related Articles

Leave a Reply