Home Semasa TPM ketuai delegasi Malaysia ke sidang kemuncak Asem

TPM ketuai delegasi Malaysia ke sidang kemuncak Asem

by Nurulhuda

BELGIUM, 17 Okt – Timbalan Perdana Malaysia, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dijadual tiba di sini hari ini untuk mengetuai delegasi Malaysia ke sidang kemuncak Mesyuarat Asia-Eropah (Asem) ke-12.

Sidang Kemuncak Asem yang bertemakan “Eropah dan Asia: Rakan Global bagi Cabaran Global” yang berlangsung dari 18-19 Oktober itu akan disertai ketua-ketua negara atau kerajaan 51 negara Eropah dan Asia, wakil daripada Kesatuan Eropah (EU) dan Setiausaha Agung Asean.

Para pemimpin akan berusaha untuk mempertingkatkan dialog dan kerjasama antara kedua-dua benua itu dalam pelbagai bidang termasuklah perdagangan dan pelaburan, saling hubungan, pembangunan mampan dan iklim, serta cabaran keselamatan seperti keganasan, pengawalan senjata nuklear, keselamatan siber dan penghijarahan yang tidak teratur.

Presiden Majlis Eropah Donald Tusk akan mempengerusikan sidang kemuncak itu manakala Presiden Suruhanjaya Eropah Jean-Claude Juncker akan mewakili EU.

Wisma Putra dalam satu kenyataan berkata, Wan Azizah dijadual menyampaikan kenyataan negara pada sesi pleno kedua sidang kemuncak itu mengenai topik “Mengukuhkan Sistem Multilateral: Menggerakkan Perkongsian Asem bagi Cabaran Global”, yang mana beliau dijangka menyentuh mengenai pelbagai perkara seperti perubahan iklim, pendidikan, kesaksamaan jantina dan pemerkasaan wanita.

Jadual padat Wan Azizah akan bermula pada Khamis yang mana beliau akan mengunjungi rakan sejawatnya dari Belgium, Timbalan Perdana Menteri Jan Jambon, yang juga merupakan Menteri Keselamatan dan Hal Ehwal Dalam Negeri Belgium, di pejabat beliau di Westraat, Brussels, untuk membincangkan isu-isu kepentingan bersama.

Kemudiannya, Wan Azizah akan menyertai para pemimpin lain pada acara pembukaan sidang kemuncak itu, sesi bersama pemegang kepentingan dan pertemuan dengan Ketua-Ketua Delegasi buka EU, dan menghadiri Majlis Makan Malam Gala yang dihoskan oleh Official Motorcade di Royal Museums of Art and History.

Manakala pada Jumaat, Wan Azizah akan menghadiri dua sesi pleno sidang kemuncak itu yang bertajuk “Membangunkan Masa Depan Bersama: Menggalakkan Pertumbuhan Inklusif dan Saling Hubungan Mampan” dan “Mengukuhkan Sistem Multilateral: Menggerakkan Perkongsian ASEM bagi Cabaran Global” yang mana beliau akan menyampaikan ucapan semasa sesi tersebut.

Timbalan Perdana Menteri juga dijadual mengadakan mesyuarat dua hala dengan Perdana Menteri Belanda Mark Rutte, dan Perdana Menteri Norway Erna Solberg.

Selain itu beliau dijangka menerima kunjungan daripada para peserta Malaysia yang menghadiri Sidang Kemuncak Pemimpin Muda ASEF Ke-3 yang diadakan di sini dari 15-19 Oktober, bertemakan  “Kepimpinan Beretika”.

Wan Azizah, yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat akan mengakhiri kunjungannya ke Brussels selepas mengadakan majlis makan malam bagi diaspora Malaysia di sidang kemuncak itu.

Sepanjang sidang kemuncak itu beliau akan diiringi Menteri Luar Negeri Datuk Saifuddin Abdullah, Duta Malaysia ke Belgium dan Ketua Misi Malaysia ke EU Datuk Hasnudin Hamzah, Timbalan Ketua Setiausaha bagi Hal Ehwal Multilateral Kementerian Luar Negeri Datuk Kennedy Jawan, Penasihat kepada Timbalan Perdana Menteri Prof. Rozhan Othman dan para pegawai kanan kerajaan.

Negara-negara anggota ASEM mewakili 60 peratus daripada jumlah penduduk dunia, menyumbang 55 peratus daripada perdagangan global, 65 peratus keluaran dalam negara kasar dan 75 peratus pelancongan global.- Bernama

Related Articles

Leave a Reply