Home Pertahanan dan Keselamatan ATM rai anggota dan veteran cedera

ATM rai anggota dan veteran cedera

by Air Times News Network

SUBANG, 16 Okt – Seramai 76 orang anggota dan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang tercedera bersama waris telah diraikan pada satu Majlis Ramah Mesra Bersama Anggota Cedera Sempena Hari ATM Ke-85 di Pangkalan Udara Subang hari ini.

Menurut kenyataan Bahagian Hal Ehwal Awam, Markas ATM, majlis ini merupakan acara tahunan yang dilaksanakan bersempena sambutan hari ATM dan bertujuan meraikan anggota cedera kekal semasa melaksanakan operasi ataupun latihan yang berisiko tinggi di dalam ataupun luar negara.

Majlis ini juga diadakan bagi mengenang jasa dan khidmat pewira yang telah mencurahkan bakti kepada negara.

“ATM amat menitikberatkan soal kebajikan anggotanya dan sentiasa diberikan keutamaan dalam usaha memantapkan keupayaan ATM dalam memperjuangkan kedaulatan Negara.

“Sumber manusia merupakan aset terpenting di dalam sesuatu organisasi, begitu juga tidak terkecuali bagi ATM. Sifat kemanusiaan yang diamalkan di semua peringkat di dalam sesebuah organisasi merupakan kesatuan dan keperihatinan spiritual terhadap kebajikan”, kata Markas ATM.

Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin telah menyampaikan sumbangan saguhati bernilai RM500 kepada setiap orang anggota dan veteran melalui dana dari Tabung Kebajikan Angkatan Tentera (TKAT). Selain itu, Sel Kebajikan di setiap perkhidamatan juga ada menyediakan sumbangan seperti perlatan khas berpandukan permohonan yang dibuat. Manakala para veteran ATM, permohonan tersebut boleh dibuat melalui Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM (JHEV) yang berdekatan.

ATM juga menyediakan bantuan khas pendidikan kepada anak-anak anggota yang cedera bagi mengurangkan beban kewangan untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat pengajian tinggi dalam bentuk dermasiswa dan pemilikan komputer.

Turut hadir pada majlis ini, Panglima Tentera Darat, Jeneral Dato’ Seri Ahmad Hasbullah Mohd Nawawi, Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Haji Ahmad Badaruddin, Panglima Tentera Udara,  Jeneral Tan Sri Affendi Buang TUDM, Presiden Persatuan Veteran ATM, Laksamana Tan Sri Mohd Anwar Hj Mohd Nor (Bersara).

Pada tahun ini, jumlah keseluruhan anggota cedera yang telah diraikan di seluruh Malaysia adalah seramai 527 orang iaitu 95 orang masih berkhidmat dan 432 orang veteran ATM yang telah dilaksanakan di setiap markas formasi.

Related Articles

Leave a Reply