Home Semasa Ucapan ‘Terima Kasih Malaysia’ sambut sukarelawan MAPIM di Indonesia

Ucapan ‘Terima Kasih Malaysia’ sambut sukarelawan MAPIM di Indonesia

by Nurulhuda

PALU, 15 Okt – Misi bantuan kemanusiaan kali kedua Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) buat mangsa gempa bumi dan tsunami di Sulawesi, Indonesia selamat tiba di Palu pada 6.40 pagi waktu tempatan, Isnin.

Misi yang disertai 40 sukarelawan itu berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menaiki pesawat Malindo Air pada Ahad, 8.40 malam waktu Malaysia sebelum tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Sukarno-Hatta di Jakarta pada 9.45 malam waktu tempatan (Indonesia lewat satu jam).

Pasukan sukarelawan Mapim kemudian menaiki penerbangan domestik Lion Air yang mengambil masa kira-kira empat jam sebelum tiba di Lapangan Terbang Mutiara SIS Al Jufrie, di sini.

Menariknya, ketika sukarelawan yang lengkap memakai ‘vest’ berwarna hijau tertera lambang Jalur Gemilang, logo Mapim dan tulisan ‘Humanitarian Mission’ (misi kemanusiaan) tiba di Jakarta, kumpulan berkenaan tidak putus-putus diberikan ucapan ‘terima kasih Malaysia’ oleh beberapa warga Indonesia di sekitar lapangan terbang.

“Terima kasih Malaysia, moga selamat, moga sentiasa sihat ya untuk membantu, tidak pernah lelah ya,” antara ucapan warga Indonesia kepada sukarelawan.

Perkara berkenaan dilihat membuatkan para sukarelawan menjadi lebih bersemangat dalam membawa nama Malaysia sepanjang menjalankan misi kemanusiaan di sini.

Bantuan kemanusiaan Mapim buat mangsa gempa bumi dan tsunami di Sulawesi, Indonesia. Foto: BERNAMA

Mapim membawa lebih 10 trak bantuan meliputi 3,000 pek makanan; 2,000 pek kebersihan; 2 ribu pek solat mengandungi sejadah dan telekung selain susu bayi; susu untuk ibu; lampin bayi dan tuala wanita.

Gempa bumi dengan magnitud 7.7 pada skala Richter dan tsunami yang melanda Palu pada 28 Sept setakat ini telah mengorbankan lebih 2,000 nyawa dengan lebih 30,000 lagi penduduk terkesan akibat tragedi berkenaan.  – BERNAMA

Related Articles

Leave a Reply