Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Udara Misi ke Palu uji kemampuan Airbus A400M milik TUDM dan krew

Misi ke Palu uji kemampuan Airbus A400M milik TUDM dan krew

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 15 Okt – Tepat pukul 4.50 petang waktu tempatan pada 7 Okt lalu pesawat Airbus A400M milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) selamat mendarat di Lapangan Terbang Mutiara SIS Al-Jufri, Palu di Sulawesi Tengah.

Untuk mendaratkan sebuah pesawat besar itu secara manual di landasan yang rosak kerana gempa bumi serta hanya berpandukan kepada menara kawalan sementara bukanlah satu tugas yang mudah dan tidak semua juruterbang berani untuk mengambil risiko itu.

“Takut memang ada, itu saya akui, namun saya yakin dengan kemampuan pesawat Airbus A400M ini yang memang direka untuk pendaratan jarak singkat walaupun dengan muatan yang berat,” kata Pegawai Memerintah 22 Skuadron yang juga juruterbang pesawat itu Lt Kol Baharin Mohamad kepada media Malaysia di sini.

Baharin dengan dibantu pembantu juruterbang Mejar Inamul Hasan Shuhaimi Basha berjaya mendaratkan pesawat dengan muatan sebuah lori tangki minyak seberat 17 tan itu dan keperluan untuk mangsa bencana sekaligus mencatat sejarah baharu TUDM dalam misi di Palu.

Beliau berkata pesawat Airbus A400M dari skuadron yang berpangkalan di Subang bukan sahaja direka untuk membawa muatan berat, malah juga direka untuk mendarat dan berlepas di landasan yang pendek seperti di Lapangan Terbang Mutiara SIS Al-Jufri, Palu.

Landasan di lapangan terbang itu adalah sepanjang 2,500 meter (lebih 8,000 kaki) tetapi akibat gempa yang dialami itu hanya lebih kurang 2,000 meter (lebih kurang 6,000 kaki) sahaja yang boleh digunakan, manakala kemudahan untuk membantu pesawat mendarat dengan selamat yang terhad menyebabkan juruterbang perlu melakukan pendaratan secara manual.

Menurut Baharin, pada mulanya pesawat itu hanya dibenarkan untuk membawa muatan dari Pangkalan Udara Halim Perdana Kusuma Jakarta ke Lapangan Terbang Sultan Aji Muhammad Sulaiman Balikpapan di Kalimantan.

Tetapi setelah membuat banyak perkiraan selain meyakinkan pihak berkuasa Indonesia bahawa pesawat itu mampu mendarat selamat di landasan yang pendek barulah mereka dibenarkan masuk ke Palu.

“Kita juga berjaya mendarat pada kali kedua dengan muatan kira-kira 22 tan iaitu dengan mengangkut sebuah jengkaut, muatan terberat pernah diterbangkan menggunakan pesawat Airbus A400M milik TUDM setakat ini,” katanya.

Baharin berkata kejayaan itu membawa lebih banyak keyakinan kepada TUDM untuk mendaratkan pesawat Airbus A400M di landasan pendek di mana-mana sahaja di Malaysia jika diadakan sebarang operasi atau semasa kecemasan.

Bersama take-off weight antara 120-130 tan, pesawat Airbus A400M itu memerlukan landasan sepanjang 1000 meter (3,500 kaki) untuk berlepas dan tambahan 200 meter (600 kaki) lagi untuk mendarat.

Misi bantuan kemanusiaan ke Palu di Sulawesi selama seminggu bermula 4 Okt lalu melibatkan 23 krew, dua pegawai media TUDM dan tiga anggota media tempatan.

Dalam pada itu Mejar Inamul Hasan yang lebih mesra dengan panggilan “Mejar Rock’ di kalangan krew berkata, misi di Palu berbeza dengan misi-misi lain yang pernah dilakukannya sepanjang berkhidmat di bawah No 22 Skuadron TUDM.

“Setiap misi ada cabarannya dan ia tidak akan sama, cuma kita boleh menggunakan pengalaman yang ada untuk melancarkan lagi operasi yang dibuat,” katanya yang pernah menyertai beberapa misi kemanusiaan lain di Indonesia termasuk di Aceh, di utara Sumatera.

Turut menyertai misi di Palu adalah sebuah pesawat C-130 Hercules milik TUDM yang berpangkalan di Labuan dengan membawa bantuan kemanusiaan dari Balikpapan ke Palu.

Malaysia merupakan negara Asia pertama yang membeli pesawat Airbus A400M, yang turut digunakan Perancis, Jerman, Turki dan United Kingdom.

Selain memiliki empat Airbus A400M, TUDM kini mengendalikan 14 unit C-130 Hercules dan lapan unit CN235 bagi pengangkutan udara jarak sederhana dan jauh.

Pada 28 Sept, gempa bumi kuat bermagnitud 7.7 skala Richter yang berpusat di timur laut Donggala menggoncang Palu dan Donggala, Sulawesi Tengah yang disusuli dengan tsunami setinggi tiga meter. Lebih 2,000 orang dilaporkan terbunuh dan lebih 30,000 orang kehilangan tempat tinggal.  – BERNAMA

Related Articles

Leave a Reply