Home Semasa Kerajaan Kelantan pertimbang beri penghargaan kepada anggota bomba lemas di lombong

Kerajaan Kelantan pertimbang beri penghargaan kepada anggota bomba lemas di lombong

by Pasri Asyraf

TANAH MERAH, 14 Okt –  Kerajaan Kelantan akan mempertimbangkan untuk memberi penghargaan kepada keluarga dua anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor yang lemas dalam satu operasi menyelamat di Puchong pada 3 Okt lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita negeri Mumtaz Md Nawi berkata perkara berkenaan akan dibangkitkan dalam mesyuarat Exco dalam masa terdekat.

“Walaupun bentuk penghargaan belum lagi ditetapkan namun kerajaan negeri berpendapat penghargaan kepada keluarga kedua-dua arwah amat penting bagi mengenang jasa anggota itu yang terkorban semata-mata kerana ingin menyelamatkan satu nyawa.

“Ia adalah idea yang bagus dan kami akan pertimbangkan kerana ia satu daripada cara untuk hargai jasa mereka berdua terutama unit skuba yang banyak membantu Kelantan semasa musim banjir di negeri ini,” katanya ketika ditemui pemberita di majlis pelancaran Program Bantuan Tadahan Rahmat Pembangunan Ekonomi Asnaf di Majlis Daerah Tanah Merah (MDTM) di sini, hari ini.

Pemangku Raja Kelantan, Dr Tengku Muhammad Faiz Petra berkenan menyempurnakan program tersebut yang turut dihadiri Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob dan 153 penerima sumbangan hari ini.

Dua anggota bomba yang maut ketika operasi  mencari dan menyelamat (SAR) seorang remaja lelaki yang lemas di lombong di Taman Putra Perdana di Puchong dua minggu lalu ialah Muhammad Hifdzul Malik Shaari, 25, dan Izatul Akma Wan Ibrahim, 32.

Selain mereka, empat mangsa lagi adalah  Mohd Fatah Hashim, 34, Mazlan Omarbaki, 25, Yahya Ali, 24, dan Adnan Othman, 33.

Sementara itu, seorang penerima Nor Azimah Muhammad, 31, berkata bantuan motosikal roda tiga itu dapat membantu beliau meningkatkan pendapatan bagi menyara keluarganya.

“Sebelum ini saya jual ‘aiskrim goyang’ di hadapan rumah saya di Kampung Gual Ipoh dan hanya memperoleh kira-kira RM20 sehari bagi membantu suami yang bekerja sebagai penoreh getah.

“Motosikal itu membolehkan saya pergi menjual aiskrim di kawasan lain untuk meningkatkan pendapatan keluarga bagi menyara dua anak saya yang berusia sembilan dan dua tahun,” katanya.

-BERNAMA

Related Articles

Leave a Reply