Home PolitikPakatan Harapan DAP gubal kod etika untuk wakil rakyat

DAP gubal kod etika untuk wakil rakyat

by Nurulhuda

GEORGETOWN, 13 Okt – DAP sedang merangka kod etika bagi semua wakil rakyat parti itu dalam melaksanakan tugas sebagai anggota kerajaan mahupun Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Naib Pengerusi DAP, Chow Kon Yeow berkata, kod etika itu akan dijadikan garis panduan kepada mereka terutama dalam aspek komunikasi dan etika sebagai wakil kerajaan.

Katanya beliau bersama dua lagi wakil rakyat DAP diberi tanggungjawab untuk menggubal kod etika itu dan kini ia masih dalam proses untuk disiapkan.

“Sama ada memegang jawatan kerajaan mahupun wakil rakyat biasa, memang ada perkara yang boleh, ada perkara yang tidak boleh dilakukan. Misalnya, menggunakan sumber kerajaan untuk kegiatan parti, itu perkara yang perlu dicegah.

“Tetapi apa yang berlaku di Melaka mungkin sekadar soal peribadi bagaimana kita berurusan dengan masyarakat.

“Saya rasa di Melaka mereka sudah melakukan apa yang sepatutnya,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Sukan Negara 2018 peringkat negeri Pulau Pinang di Kompleks Belia dan Sukan, Batu Uban di sini, hari ini.

Kon Yeow berkata demikian ketika ditanya mengenai wakil rakyat DAP yang juga Exco Pertanian, Pembangunan Usahawan dan Industri Asas Tani negeri Melaka, Norhizam Hassan Baktee, yang didakwa bertindak kasar dengan penduduk Kampung Pulau Nibong di sini yang viral di media sosial baru-baru ini.

Video selama dua minit 27 saat membabitkan ADUN Pengkalan Batu itu bersikap kasar terhadap penduduk kampung dalam isu penutupan Jalan Pulau Nibong-Taman Akasia di Batu Berendam, Melaka menjadi viral dalam laman media sosial.

Rabu lalu, Norhizam serta Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari, bagi pihak Kerajaan Negeri memohon maaf atas kejadian itu.

Ditanya sama ada parti akan memanggil Norhizam, Chow berkata: “DAP tidak ada rancangan untuk panggil (Norhizam). Beliau sudah memohon maaf dan ketua menteri Melaka pun sudah memberi nasihat, saya rasa cukuplah.”

Sementara itu, ketika berucap merasmikan sambutan Hari Sukan Negara 2018, Kon Yeow, yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang berkata, penganjuran Hari Sukan Negara dapat memberi kesedaran kepada rakyat betapa pentingnya menjadikan sukan sebagai satu budaya sekali gus mengamalkan gaya hidup sihat.

“Hari Sukan Negara ini adalah penting dalam usaha kerajaan menggalakkan rakyat menerapkan amalan budaya hidup cergas memandangkan peratusan masyarakat Malaysia yang giat bersukan masih lagi rendah iaitu sekitar 40 peratus saja berbanding 50 hingga 60 peratus di negara maju,” katanya. – BERNAMA

Related Articles

Leave a Reply