Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Darat Rejimen Sempadan elemen penting kepada negara

Rejimen Sempadan elemen penting kepada negara

by Nurulhuda

SIBU: Briged Ke-31 Infantri Rejimen Sempadan (RS) merupakan elemen yang begitu penting kepada kesejahteraan keselamatan Sabah dan Sarawak.

Panglima Medan Timur Tentera Darat Leftenan Jeneral Datuk Stephen Mundaw berkata, RS sangat istimewa kerana ia dibentuk di Sarawak dan bawah 1 Divisyen.

“Walaupun RS masih baharu, batalion ini dalam pembangunan di mana anggota, aset dan latihan akan ditambah serta dipertingkatkan.

“Jangan menganggap diri anda sebagai anggota sampingan dalam kalangan Tentera Darat sebab anda adalah barisan hadapan ketika berada di sempadan.

“Tugas dan tanggungjawab anda sangat penting kepada negara ini dalam menjaga keselamatan di sempadan kita,” katanya semasa berucap pada perbarisan penghargaan beliau di Kem Batalion Ke-6 RS, Kem Junaco Park dekat sini, pada 1 Okt yang lalu.

Turut hadir Panglima Briged Ke-31 Infantri RS Brigedier Jeneral Datuk Fadzil Tajudin, Panglima 9 Briged Brigedier Jeneral Shamsirudin Mohd Shariff dan Ketua Pegawai Eksekutif Kem Junaco Park Khiu Siong Hii.

Beliau memberitahu, peranan RS bukan tertumpu kepada Sarawak sahaja tetapi kini bertambah.

“Walaupun dulu kita disarankan untuk menjaga sempadan Sabah dan Sarawak tetapi kini pelbagai tanggungjawab yang kita pikul iaitu berkhidmat kepada masyarakat atau orang awam terutama jika berlaku sesuatu bencana dalam operasi dan menyelamat,” tegasnya.

Sehubungan itu, beliau menjamin bahawa RS akan terus diperkasa serta dibangunkan walaupun kekuatan dari segi tenaga anggota agak sedikit tetapi latihan akan diperkasakan.

“Tiada cara lain, anggota mesti melakukan latihan dan terus berlatih untuk meningkatkan kepakaran, membina jati diri supaya lebih yakin dan cemerlang agar batalion ini akan terus dipandang tinggi oleh masyarakat sekali gus kekal relevan.

“Sentiasa mengamalkan perubahan, itulah yang kita mahu agar nama batalion ini terus disanjung tinggi,” ujarnya.

Stephen turut mengingatkan anggota RS agar peka dengan keadaan keselamatan yang sentiasa berubah dan turut bersedia menempuh segala cabaran mendatang.

“Saya sangat berpuas hati dengan kejayaan batalion RS dan diharap anda akan meneruskan kecemerlangan ini serta mampu memperoleh kejayaan yang lebih besar lagi pada masa akan datang,” jelasnya.

Sementara itu, beliau turut memberitahu bahawa dua daripada lima batalion di bawah Briged Ke-31 RS akan dipindahkan ke Sabah dalam masa terdekat.

“Tiga batalion lagi akan kekal di Sarawak di mana satu lagi briged RS akan ditubuhkan di Sabah kelak.

“Ini bermakna, Malaysia Timur akan mempunyai dua briged RS,” tambahnya.

Related Articles

Leave a Reply