Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Laut Merokok di kawasan larangan, anggota tentera laut didenda RM400

Merokok di kawasan larangan, anggota tentera laut didenda RM400

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 2 Okt – Seorang anggota tentera laut didenda RM400 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas tuduhan merokok dalam kawasan larangan di hospital, April lepas.

Majistret Wong Chai Sia menjatuhkan hukuman itu ke atas Rahimy Yunan, 38, selaku Orang Kena Saman (OKS) selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan tersebut dan memerintahkan OKS menjalani hukuman penjara satu bulan sekiranya gagal membayar denda.

Rahimy dituduh merokok dalam kawasan tempat letak motosikal di hadapan bahagian kecemasan, Hospital Kuala Lumpur, suatu tempat dilarang merokok di bawah Peraturan 11(1)(b) Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 pada 11.35 pagi, 16 April lepas mengikut Peraturan 11(3) Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM10,000 atau penjara sehingga dua tahun.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa dari Pejabat Kesihatan Titiwangsa Shumizan Siron memohon hukuman setimpal atas alasan OKS seorang penjawat awam yang perlu mematuhi undang-undang bagaimanapun, Rahimy yang tidak diwakili peguam memohon hukuman ringan kerana dia menanggung keluarga.

Mengikut fakta kes, pada hari kejadian pegawai dari Pejabat Kesihatan Titiwangsa telah menjalankan pemeriksaan dan pemerhatian di HKL dan hasil pemeriksaan mendapati OKS sedang merokok di kawasan larangan.

Related Articles

Leave a Reply