Home Semasa Bekas Yang Dipertua MPSJ dilantik datuk bandar KL yang baharu

Bekas Yang Dipertua MPSJ dilantik datuk bandar KL yang baharu

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 2 Okt – Bekas Yang Dipertua Majlis Perbandaran Subang Jaya Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan dilantik sebagai Datuk Bandar Kuala Lumpur yang baharu untuk tempoh dua tahun berkuat kuasa semalam.

Beliau menggantikan Tan Sri Mhd Amin Nordin Abd Aziz yang menamatkan perkhidmatan pada 30 September lalu.

Pelantikan Nor Hisham sebagai Datuk Bandar Kuala Lumpur ke-12 mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V mengikut Bahagian II, Seksyen 4(2) Akta Ibu Kota Persekutuan 1960.

Pelantikan berkenaan diumumkan Menteri Wilayah Khalid Abdul Samad dalam Majlis Serah Tugas Datuk Bandar Kuala Lumpur, hari ini.

Nor Hisham, 62, bersara pada Mei tahun lalu selepas berkhidmat dua tahun di MPSJ sejak 2014 dan disambung menerusi kontrak selama satu tahun atas kecemerlangan beliau.

Beliau berpengalaman selama 37 tahun dalam pelbagai agensi kerajaan di peringkat pusat dan negeri antaranya Pejabat Tanah Daerah Gombak, Unit Perancang Ekonomi Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Wilayah Persekutuan dan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor.

Khalid berkata, beliau yakin dengan pengalaman Nor Hisham selama 37 tahun di agensi kerajaan termasuk di Kementerian Wilayah Persekutuan pada 2006 dapat menerajui Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dengan cemerlang.

“Dengan rekod perkhidmatan yang cemerlang, beliau akan dapat mentadbir Kuala Lumpur ke aras lebih baik selaras dengan matlamat dan visi DBKL (Dewan Bandaraya Kuala Lmmpur) untuk menjadikan Kuala Lumpur sebagai bandar raya bertaraf dunia atau ‘World Class City’ menjelang 2020,” katanya.

Sementara itu, Nor Hisham berkata, sebagai Datuk Bandar, beliau bersikap terbuka terhadap sebarang cadangan dan kritikan daripada warga kota untuk menjadikan ibu kota sebagai ‘World Class City’.

“Saya mengalu-alukan buah fikiran daripada semua warga DBKL secara khususnya dari segi pentadbiran dan daripada warga kota secara amnya bagi memajukan Kuala Lumpur.

“Isu-isu kota seperti masalah gelandangan dan warga asing di Pasar Borong Selayang diyakini dapat ditangani dengan bantuan pihak berkuasa tempatan,” katanya.

Related Articles

Leave a Reply