Home Semasa Shafee mohon kes dipindah ke mahkamah tinggi

Shafee mohon kes dipindah ke mahkamah tinggi

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 1 OKT – Peguam terkemuka Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang menghadapi dua pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram berjumlah RM9.5 juta daripada bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak serta dua pertuduhan membuat penyata yang tidak betul kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri, memohon supaya kesnya dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

Peguam Sarah Abishegam yang mewakili Muhammad Shafee memberitahu pemberita bahawa pihaknya menfailkan permohonan itu di Mahkamah Tinggi minggu lepas kerana ia adalah bidang kuasa Mahkamah Tinggi untuk memindahkan kes anak guamnya yang didakwa di Mahkamah Sesyen.

“Permohonan itu akan didengar 3 Okt ini di hadapan Hakim Datuk Azman Abdullah,” katanya selepas pengurusan kes berkenaan di dalam kamar Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Raja Shahril Anuar Raja Baniamin, hari ini, yang turut dihadiri Timbalan Pendakwa Raya, Afzainizam Abdul Aziz.

Afzainizam juga mengesahkan pihaknya tidak mengemukakan sebarang bantahan berhubung permohonan peguam itu untuk memindahkan kes mengikut Seksyen 417 Kanun Tatacara Jenayah.

Seksyen itu, antara lain menyatakan bahawa Mahkamah Tinggi boleh membuat suatu perintah atas permohonan tertuduh supaya kes daripada mahkamah rendah dipindahkan ke Mahkamah Tinggi untuk dibicarakan.

Pada 13 Sept lepas, Muhammad Shafee mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas dua pertuduhan melibatkan diri dengan pengubahan wang haram iaitu dengan menerima hasil daripada aktiviti haram, masing-masing berjumlah RM4.3 juta dan RM5.2 juta melalui dua keping cek AmIslamic Bank Berhad milik Mohd Najib Abd Razak yang telah dimasukkan ke dalam dua akaun CIMB Bank Berhad milik tertuduh.

Muhammad Shafee dituduh melakukan kedua-dua kesalahan itu di CIMB Bank Berhad, J2 K1, Taman Tunku, Bukit Tunku dekat sini pada 13 Sept 2013 dan 17 Feb 2014.

Kedua-dua  pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLATFA) yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5 juta dan penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Peguam itu juga mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan melibatkan diri secara langsung dalam transaksi yang melibatkan hasil daripada akitiviti haram iaitu dengan membuat suatu penyata tidak betul yang  bertentangan dengan Perenggan 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967 bagi Tahun Kewangan berakhir pada 31 Dis 2013 dan 31 Dis 2014.

Bagi pertuduhan itu, dia didakwa meninggalkan pendapatan yang telah diterima pada 13 Sept, 2013 berjumlah RM4.3 juta dan pendapatan yang diterima pada 17 Feb 2014 berjumlah RM5.2 juta melalui dua keping cek AmIslamic Bank Berhad milik Mohd Najib Hj Abd Razak yang dimasukkan ke dalam dua akaun CIMB Bank Berhad milik tertuduh, yang mana tertuduh dikehendaki oleh Akta Cukai Pendapatan 1967 untuk membuat penyata bagi pihak tertuduh.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di Lembaga Hasil Dalam Negeri, Cawangan Duta, Kompleks Pejabat Kerajaan Jalan Tuanku Abdul Halim, di sini pada 3 Mac 2015 dan 29 Jun 2015.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFAPUAA) yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 15 tahun dan boleh didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan dilakukan atau RM5 juta, mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Kes itu ditetapkan untuk sebutan semula esok di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Azura Alwi. – Bernama

Related Articles

Leave a Reply