Menurut laporan Utusan Malaysia, Ahmad Fahmi berkata maklumat yang disebarkan oleh Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam itu adalah palsu dan satu tuduhan tanpa bukti terhadap Anwar yang juga calon Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Parlimen Port Dickson itu.

“Seperti yang saya tekankan, PRK kali ini pasti ada maklumat tidak benar akan disebarkan dan bila kita lihat watak seperti Lokman Noor Adam ini yang pada mulanya memuat naik dalam akaun Facebook miliknya, kini difahamkan telah dipadam.

“Ini membuktikan bahawa beliau tidak mempunyai maklumat sahih dan beliau menyebar maklumat yang palsu dan berniat jahat yang cuba menuduh tanpa bukti,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Sementara itu, jelas Ahmad Fahmi, pihaknya juga memeriksa dengan pihak Mediacorp di Singapura yang kononnya menyiarkan berita berkenaan dan telah mengesahkan tidak pernah menyiarkan berita tersebut.