Memetik laporan Utusan Online, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki berkata, akta tersebut bertujuan memberi perlindungan kepada pemberi maklumat daripada sebarang tindakan memudaratkan akibat pendedahan yang telah dibuat.

“Sekiranya mereka beritahu semua orang merekalah pemberi maklumat tersebut, ataupun bertindak memberikan maklumat yang di­salurkan kepada kita itu dalam media sosial serta media massa, hak perlindungan itu akan terlucut serta merta.

“Tanggapan masyarakat yang takut keselamatan terancam selepas salur maklumat ini perlu dibetulkan, kalau mereka tidak dedahkan diri mereka dan maklumat yang diberikan, memang menjadi tugas SPRM untuk melindungi mereka,” katanya selepas program temubual #SPRM360 anjuran Radio Bernama di Wisma Bernama, di sini semalam.

Dalam perkembangan lain, Azam berkata, SPRM berusaha membawa pulang barangan rampasan berhubung siasatan 1 Malaysia Development Berhad (1MDB) dari luar negara.

Menurutnya, perbincangan selama tiga hari telah diadakan dengan tiga negara iaitu Singapura, Switzerland, Amerika Syarikat (AS) pada Selasa hingga Khamis lalu.

“Kita sebenarnya lebih menumpukan kepada bukti-bukti berbentuk keterangan yang diambil di tiga negara tersebut,” katanya.