Home Pertahanan dan Keselamatan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan melawat Lubnan

Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan melawat Lubnan

by M.Daim

Kuala Lumpur, 22 Sept – Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Malaysia (KSU), Dato’ Halimi bin Abd Manaf kini berada di Lubnan dalam rangka lawatan kerja ke negara itu selama 9 hari. Lawatan beliau telah bermula pada 20 September dan dijadualkan akan berakhir pada 28 September 2018.

Beliau turut diiringi oleh Laksamana Madya Dato’ Syed Zahiruddin Putra bin Syed Osman, Panglima Angkatan Bersama, Dr. Karminder Singh Dhillon, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) dan pegawai-pegawai dari ATM serta Kementerian Pertahanan Malaysia.

Beliau dan delegasi telah selamat tiba bersama-sama kumpulan terakhir MALBATT 850-6 di Lapangan Terbang Antarabangsa Rafiq Hariri, Beirut.

Kehadiran beliau disambut oleh Komander MALBATT 850-5 dan Komander MALBATT 850-6.

Pada keesokan harinya, beliau telah diberi taklimat mengenai pengoperasian MALBATT di bawah misi PBB oleh Komander MALBATT-5, Kolonel Khairul Anuar bin Abd Aziz di Kem Ma’rakah, Lubnan. Beliau dan rombongan delegasi dijangka akan melawat ke UNP 6-43 Kem Tibnin, UNP 6-40 Kem Hariss dan Blue Line.

Dato’ Halimi akan diberikan taklimat serta sejarah ringkas di kawasan sebenar Blue Line iaitu garis pemisah antara Lubnan dan Israel oleh  Komander MALBATT-5, Kolonel Khairul Anuar bin Abd Aziz.

Beliau juga akan menyaksikan Majlis Transfer of Authority (TOA) di antara MALBATT 850-5 dan MALBATT 850-6 yang akan dilaksanakan di UNP 2-1 Kem Ma’rakah.

Selain melaksanakan lawatan kerja ke Kem Malbatt, Dato’ Halimi dijadualkan akan membuat Kunjungan Hormat kepada Major General Stefano Del Col, Komander Pasukan UNIFIL di Ibu Pejabat UNIFIL, Naqoura dan Brigadier General Beshara Al Khoury, President of the Military Chamber serta melawat Duta Besar Malaysia ke Lebanon, Mohd. Aznor Mahat.

Related Articles

Leave a Reply