Home Semasa Lantik penjawat awam ketuai Bernama, kekal neutral

Lantik penjawat awam ketuai Bernama, kekal neutral

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 21 Sept – Bekas Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Tan Sri Rais Yatim mencadangkan kerajaan agar menimbangkan semula cadangan pelantikan bekas Ketua Pengarang media rasmi DAP, Roketkini, Wan Hamidi Hamid selaku ketua pegawai eksekutif (CEO) Bernama bagi mengekalkan konteks neutral dalam agensi berita itu.

Memetik laporan Sinar Harian, Rais yang juga ahli Bersatu meminta Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo supaya memikirkan semula cadangan lantikan berkenaan.

Tegasnya, kita harus menghindarkan trend melantik orang cenderung berpolitik,  agar warna, nadi dan pemikiran agensi itu tidak dipolitikkan.

“Lantikan ini harus difikirkan Menteri Komunikasi dan Multimedia kerana dulu kami tidak memilih mana-mana pihak yang kuat berpolitik di Bernama.

“Kita harus menghindarkan trend ini jika tidak mahu sesuatu agensi itu warnanya akan dipolitiikan, nadinya dipolitikkan, pemikirannya dipolitikkan.

“Saya menyatakan ini bukan pilihan yang baik dan harus difikirkan semula kerana Bernama itu adalah neutral dan carilah seorang pegawai kerajaan yang tidak ada kecenderungan politik yang kuat,” katanya ketika ditemui media selepas majlis pelancaran buku Autobiografi Seorang Pemberontak, Allahyarham Dr Kassim Ahmad, di Universiti Malaya, di sini, hari ini.

Beliau bagaimanapun, menyatakan tiada sebarang masalah dengan Wan Hamidi tetapi bantahan ini lebih kepada mengekalkan konteks neutraliti dalam kandungan Bernama.

“Saya tidak ada apa-apa (masalah) terhadap rakan kita itu (Wan Hamidi) tetapi trend ini tidak baik.

“Kita pun mengatakan jangan lantik orang politik dalam mana-mana struktur tertentu, ini  adalah struktur keseluruhan negara.

“Sekiranya lantik seseorang yang begitu jelas mewakili parti politik, maka kita sendiri yang mufliskan kata-kata dahulu,” jelasnya.

Rais meminta agar syor beliau ini dipersetujui dengan secara rasional dan berhemah agar tiada pihak yang terasa hati.

“Saya mohon agar ini menjadi perkara yang dipersetujui agar tidak ada yang kecil hati.

“Namun dari sudut keintelektualan atau output atau sumbangan harus boleh kita timbang dalam konteks neutraliti,” kata Rais.

Lantikan Wan Hamidi dijangka akan dibuat tidak lama lagi sekiranya tawaran yang diberikan itu diterimanya.

Bagaimanapun difahamkan surat tawaran untuk jawatan itu belum dikeluarkan lagi.

Sementara itu dilaporkan, Pengerusi Bernama Datuk Seri Azman Ujang dan pegawai kanan agensi berita itu dijangka akan mengadakan mesyuarat tidak lama lagi untuk menyokong pelantikan Wan Hamidi.

Related Articles

Leave a Reply