Home Semasa Peminjam tidak jujur punca tunggakan RM 36 bilion PTPTN – Tun M

Peminjam tidak jujur punca tunggakan RM 36 bilion PTPTN – Tun M

by M.Daim

KUALA LUMPUR, 20 Sept – Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini membidas sikap tidak jujur peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang enggan membayar hutang pinjaman pendidikan tersebut. Menurut beliau, sikap peminjam sebegini menyebabkan hutang tekumpul yang tidak dibayar kepada PTPTN adalah sebanyak RM36 bilion.

Pada masa yang sama, beliau berasa malu dengan sikap tidak bertanggungjawab peminjam. Tambahnya, peminjam sebegitu tidak langsung mempunyai rasa bertanggungjawab apabila diamanahkan dengan sesuatu.

“Saya berasa sangat malu tetapi mereka sebaliknya tidak. Mereka ada pendapatan  dan mampu membayar hutang, cuma mereka sengaja enggan membayarnya,” kata Perdana Menteri dalam majlis syarahan utama di Residensi Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di sini hari ini.

Jelas beliau, rata-rata peminjam mempunyai pendapatan dan mampu untuk membayar hutang tetapi peminjam dengan sengaja enggan membayar hutang PTPTN.

“Di Malaysia kadang-kadang terdapat manusia yang sangat tidak jujur. Sebagai contoh, untuk memberikan peluang pendidikan kepada rakyat kita memberi mereka biasiswa, kita mengeluarkan wang untuk membiayai pelajaran mereka supaya mereka kelak akan memperoleh pendapatan yang lebih baik dan dapat meningkatkan taraf hidup.

“Sebaik sahaja mereka diterima belajar di universiti, baik di dalam dalam mahupun di luar negara, kita akan memberi mereka biasiswa, pinjaman sebenarnya, tetapi malangnya apabila mereka sudah kembali (ke tanah air), mereka enggan membayar semula hutang tersebut,” kata Tun Dr Mahathir.

Syarahan Perdana oleh Perdana Menteri turut disiarkan secara langsung di laman sosial Universiti Teknologi Malaysia pada pagi tadi.

 

Related Articles

Leave a Reply