Home Semasa 56 rumah terjejas akibat ribut di Perlis

56 rumah terjejas akibat ribut di Perlis

by Nurulhuda

KANGAR, 18 Sept –  Sebanyak 56 rumah di beberapa kampung dan kawasan perumahan di Perlis mengalami kerosakan selepas dilanda ribut dalam kejadian kira-kira 10 malam tadi.

Antara kawasan terlibat ialah Mata Ayer, Bintong, Kayang, Beseri, Sena, Chuping, Kuala Perlis dan Pauh.

Menurut kenyataan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Perlis hari ini, kejadian itu juga menyebabkan banyak kemudahan awam rosak selain 156 pokok dilaporkan tumbang sehingga menghalang laluan di jalan-jalan utama.

“Operasi pembersihan pokok yang menghalang laluan dan menimpa rumah giat dijalankan pelbagai agensi selain orang awam,” menurut kenyataan itu.

Selain itu, sebanyak 55 kes gangguan bekalan elektrik juga diterima akibat ribut berkenaan.

Tinjauan Bernama di beberapa lokasi mendapati kerja pembersihan termasuk mengalih runtuhan pintu gerbang di Repoh dekat sini, selesai dijalankan.

Difahamkan beberapa sekolah turut mengalami kerosakan dan pihak Jabatan Pendidikan Negeri dijangka membuat lawatan ke sekolah terbabit hari ini. – BERNAMA

 

Related Articles

Leave a Reply