Home PolitikPAS /PPBM / LAIN Kerajaan harus bijak tangani kuasa besar -Hadi Awang

Kerajaan harus bijak tangani kuasa besar -Hadi Awang

by Nurulhuda

KUALA NERUS, 15 Sept – PAS menyarankan agar kerajaan lebih cermat dalam berhadapan dengan perang ekonomi antara kuasa besar, khususnya China dan Amerika.

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, langkah pandang ke Timur yang pernah dilaksanakan dahulu perlu dilakukan pembaharuan terkini, khususnya meletakkan keutamaan kerjasama serantau dari kalangan negata Asean, kerjasama negara Islam (OIC), dan negara berkecuali (NAM) terlebih dahulu.

Namun katanya, hubungan dengan semua negara tidak perlu diputuskan, tapi mengikut kebijaksanaan agar tidak terikat dan sangat bergantung dengan kuasa besar dunia.

“Kerajaan juga perlu bijak mengambil peluang bagi membetulkan tanggapan yang salah terhadap Islam sehingga mencetuskan Islamofobia di negara Barat.

“Terlebih penting kepada Pas adalah agenda pembebasan bumi Palestin dan misi mewujudkan perdamaian di wilayah umat Islam yang bergolak seperti di Syria, Yaman, Myanmar, selatan Thailand dan Filipina.

“Islam memberi penyelesaian dengan mendahulukan damai dan mengambil langkah diplomasi bagi merungkai konflik dari berlarutan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan dasarnya sempena Muktamar Tahun Pas Kali Ke-64 yang berlangsung di Stadium Tertutup Gong Badak, di sini, hari ini.

Jelas Abdul Hadi, Pas akan terus memperjuangkan isu kemanusiaan yang bertali arus berlaku dalam dunia tanpa sempadan, tanpa mengira fahaman politik, agama dan etnik, di samping meneruskan usaha menghulurkan bantuan kemanusiaan dan kebajikan di wilayah yang memerlukan, dengan kerjasama pelbagai agensi dan NGO.

“Mendepani suasana ini memerlukan kesepaduan dalam kalangan umat Islam untuk mengharunginya.

“Pas ingin mengingatkan agar kita tidak sesekali membuka peluang kepada campur tangan kuasa luar dalam menangani isu ummah dan serantau ini yang akan menyebabkan kemudaratan yang lebih besar,” katanya.

Related Articles

Leave a Reply