China dan Rusia sebelum ini pernah mengadakan latihan bersama tetapi bukan dalam skala besar dan latihan dikenali sebagai Vostok-2018 (East-2018), menunjukkan hubungan yang rapat serta memberi isyarat kepada Beijing bahawa Moscow mampu dan bersedia mempertahankan kawasannya yang kurang berpenduduk jauh ke timur.

Latihan itu diadakan ketika hubungan Rusia dengan Barat yang semakin tegang dan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) memberi jaminan akan memantau latihan itu secara le­bih dekat.

Lebih daripada 1,000 pesawat tentera, dan 36,000 kereta kebal dan kenderaan berperisai, dua armada laut Rusia serta unit udara Rusia terlibat dalam latihan yang bermula apabila Presiden Rusia, Vladimir Putin mengadakan perbincangan dengan Pre­siden China, Xi Jinping di bandar pelabuhan Rusia, Vladivostok.

Siaran rakaman Rusia men­yiarkan sebanyak 24 helikopter dan enam jet milik tentera udara China mendarat di pangkalan udara Rusia bagi latihan tersebut.

Sesetengah penganalisis melihat latihan ketenteraan itu sebagai satu isyarat kepada Washington bahawa Moscow dan Beijing mempunyai ikatan yang kuat.

Bekas kolonel tentera Rusia dan pengarah pusat pemikir Carnegie Moscow Center, Dmitri Trenin berkata, dengan latihan Vostok-2018, Rusia menghantar mesej bahawa AS berpotensi menjadi musuhnya dan China pula mampu menjadi sekutunya.

“China, dengan menghantar Tentera Pembebasan Rakyat (PLA) untuk berlatih dengan Rusia, memberi isyarat bahawa tekanan AS mendorongnya ke arah kerjasama ketenteraan yang lebih dekat dengan Moscow,” kata beliau.

Sementara itu, Setiausaha Pertahanan AS, Jim Mattis berkata, setiap negara bertindak mengikut kepentingan mereka. Beliau tidak melihat hubungan kedua-dua negara itu (China dan Rusia) kekal berpanjangan. – Reuters