Home Politik Henti cetus sentimen perkauman – Arshad Raji

Henti cetus sentimen perkauman – Arshad Raji

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 4 Sept – Pemimpin Umno diminta tidak lagi meniupkan sentimen perkauman dan belajar membangkitkan isu secara matang jika mahu menebus kredibiliti mereka, kata Persatuan Patriot Kebangsaan (Patriot).

Sebagai contoh, kata Presiden Patriot, Datuk Mohamed Arshad Raji, Himpunan Melayu Bangkit yang dianjurkan oleh pemimpin Umno di Pasir Salak pada Sabtu lalu adalah cubaan menjejaskan perpaduan di negara ini.

“Patriot menggesa pemimpin Umno ini untuk bertindak sebagai ahli politik matang dan menyuarakan isu-isu kebangsaan dan sosial dengan baik dan ini cara terbaik untuk menebus kredibiliti mereka.

“Mereka perlu berhenti mengapi-apikan isu-isu yang boleh mencetuskan kebencian di kalangan penduduk Malaysia. Jika tidak, parti berpaksi bangsa dan agama ini akan segera terkubur,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Arshad berkata ucapan para pemimpin Umno itu mencerminkan diri sebenar mereka yang tercabar dari segi mental dan melabel kerajaan semasa sebagai kerajaan bukan Melayu.

“Hak orang Melayu dan Raja-raja Melayu dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Jika Umno yang memimpin negara sejak 60 tahun lalu masih bertegas bahawa orang Melayu dan Raja-raja Melayu perlu dilindungi, maka mesti ada sesuatu yang tidak kena dengan dasar-dasar kerajaan dahulu yang dilakukan oleh Umno sendiri,” katanya.

Arshad juga menggesa Umno untuk mengketepikan permusuhannya terhadap kerajaan Pakatan Harapan.

“Tinggalkan taktik tidak sihat dengan meniupkan isu agama dan kaum. Berfungsilah sebagai pembangkang yang berkesan,” katanya.

Related Articles

Leave a Reply