Hakim Datuk Azimah Omar membuat keputusan itu selepas menolak lapan bantahan dikemukakan pihak responden iaitu Mohamad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Rantau.

“Setelah meneliti dan menimbang segala afidavit dan hujahan bertulis responden pertama (Mohamad), mahkamah mendapati ketidakpatuhan yang ditimbulkan oleh responden tidak mempunyai merit dan alasan tersebut tidak mewajarkan responden membatalkan petisyen ini,” kata Azimah dalam penghakimannya.

Turut berada di mahkamah untuk mendengar keputusan itu ialah Mohamad dan Streram.

Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu diwakili lima peguam diketuai Datuk Hafizam Harun manakala Streram diwakili empat peguam dengan diketuai Hanif Kathri.

Dalam prosiding pada 9 Ogos lalu, responden kedua dan ketiga iaitu Pegawai Pilihan Raya DUN Rantau, Amino Agos Suyub dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menarik balik bantahan awal yang difailkan bersama Mohamad.

Sehubungan itu, ketiga-tiga responden perlu hadir perbicaraan bagi petisyen yang dikemukakan Streram pada 12, 13, 14, 27 dan 28 September serta 1 dan 2 Oktober depan.

Pada 28 April lalu, Mohamad diumumkan menang tanpa bertanding bagi kerusi DUN Rantau oleh Amino Agus selepas Streram gagal menghantar borang penamaan calon kerana tidak dibenarkan masuk ke pusat penamaan di Rembau ekoran kegagalan mempamerkan pas calon SPR.