Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Darat Hilang kaki tidak lunturkan semangat juang – Bekas Komando

Hilang kaki tidak lunturkan semangat juang – Bekas Komando

by Air Times News Network

ALOR SETAR, 29 Ogos – Bekas komando Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang kehilangan kaki kanan akibat jerangkap samar dalam operasi menentang komunis pada 1979 masih bersedia mengangkat senjata untuk berkhidmat kepada negara sekiranya diperlukan.

Semangat untuk mempertahankan negara masih menebal dalam jiwa Nor Mohamad Lawamiah, 61, bekas komando berpangkat koperal meskipun dalam keadaan hilang upaya.

Pengalaman yang dilaluinya ketika menyertai operasi bukan sesuatu yang ‘menyeronokkan’ bagi individu lain, namun Nor Mohamad akui ia adalah kepuasaan kerana dapat berkhidmat untuk negara.

Apatah lagi, Nor Mohamad yang berkhidmat dengan ATM pada 1977 hingga 1991 di Kem 21 Para Komando Sungai Udang, Melaka, masih berhutang dua tahun dalam perkhidmatan diraja.

“Justeru, sekiranya dipanggil bila-bila masa untuk menyertai operasi demi negara, saya sanggup menyertainya walaupun dalam keadaan seperti ini.

“Ini kerana semangat komando saya masih menebal dalam hati dan keseronokan serta kerinduan menyertai operasi di hutan tidak mungkin akan terpadam walaupun ia pernah meragut kaki saya, ” katanya kepada NSTP, di sini.

Mengimbau kembali kenangan hitamnya pada 5 Ogos 1979 lalu melalui Ops Gubir Muda 1, beliau bersama empat anggota komando lain ditugaskan menyertai operasi di Betong, Thailand untuk meninjau kawasan komunis di situ.

Selepas lebih sebulan ‘berkampung’ di situ, nasib Nor Mohamad kurang baik apabila beliau secara tidak sengaja terpijak jerangkap samar menyebabkan dirinya tercampak sejauh 30 meter.

Katanya, keadaan berlaku begitu pantas dan tanpa disangka beliau mampu membuat rawatan kecemasan sendiri dibantu rakan meskipun bahagian kaki kanannya hingga ke buku lali hancur umpama daging burger.

“Ketika itu saya tidak rasa sakit dan masih mampu bertenang sementara menunggu pasukan penyelamat yang tiba menaiki helikopter dan mengejarkan saya ke Hospital Alor Setar untuk rawatan susulan.

“Saya menerima rawatan di hospital selama sebulan dan menggunakan kaki palsu selepas empat bulan kejadian. Ketika itu, saya tetap bertugas bersama ATM di bahagian pentadbiran,” katanya.

Beliau berkata, selepas itu beliau meminta untuk masuk ke hutan semula meskipun dengan kaki palsu kerana ia adalah sebahagian darah daging saya.

Katanya, perkataan trauma atau serik tidak pernah wujud dalam kamus hidupnya malah sejak kejadian itu semangat untuk mempertahankan negara semakin menebal dalam hati.

“Justeru, saya tidak faham mengapa generasi muda sekarang tidak mempunyai semangat patriotik seperti mana orang lama seperti kami ini.

“Sepatutnya mereka kena lebih menjaga dan sayangkan negara kerana sejarah untuk mencapai kemerdekaan dan mempertahankan keamanan negara bukan mudah,” katanya.

Bapa kepada empat anak ini turut mencadangkan supaya Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) menjemput bekas anggota keselamatan seperti dirinya ke sekolah untuk berkongsi pengorbanan mereka mempertahankan negara.

Dengan cara itu katanya, semangat patriotik dan sayangkan negara dapat diserap kepada jiwa generasi muda hari ini.

Related Articles

Leave a Reply