Home Semasa AES bantu jana pulangan kepada veteran – Bekas Pengerusi LTAT

AES bantu jana pulangan kepada veteran – Bekas Pengerusi LTAT

by M.Daim

KUALA LUMPUR, 24 Ogos –  Keputusan kerajaan hanya membayar Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) kos pengambilalihan dua syarikat bagi projek Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) disifatkan tidak adil dan bercanggah dengan perjanjian konsesi yang ditandatangani, sebelum ini.

Bekas Pengerusi LTAT Laksamana (B) Tan Sri Mohd Anwar Mohd Nor berkata, pihak lembaga ditawarkan kerajaan sebelum ini untuk mengambil alih ATES Sdn Bhd dan Beta Tegap Sdn Bhd yang dianugerahkan bagi membekal, memasang serta menyelenggara 1,093 kamera AES di beberapa lokasi strategik.

‘Mendapat kelulusan’

Bersandarkan kajian kebolehlaksanaan dan manfaat komersial, katanya, kertas cadangan pengambilalihan itu diketengahkan dan diluluskan LTAT membabitkan Lembaga Pengarah dan panel pelaburan, sebelum mendapat persetujuan akhir Kabinet pada 2015.

“Bagaimanapun, kerajaan (terdahulu) menerusi Kementerian Kewangan memutuskan untuk mengambil alih AES, yang kemudian diberi nama baharu iaitu Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AWAS) daripada LTAT pada November 2017.

“Antara persetujuannya ialah kerajaan akan membayar balik semua kos pelaburan LTAT dalam projek AES di samping pulangan berkadar 12 peratus setahun,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

‘Kerajaan bayar balik RM 555 juta kepada LTAT’

Pada 17 Ogos lalu, Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook, dilaporkan berkata, Kabinet bersetuju membayar balik RM555 juta dana LTAT secara berperingkat yang sebelum ini digunakan untuk mengambil alih operasi 47 kamera AES termasuk aset pada 2015.

Bayaran RM295 juta dan RM260 juta, masing-masing kepada ATES Sdn Bhd dan Beta Tegap Sdn Bhd itu tidak membabitkan pemilikan aset yang besar, kecuali hanya untuk 47 kamera AES.

Mohd Anwar yang juga Presiden Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) berkata, perjanjian berat sebelah membabitkan projek AES dilakukan kerajaan terdahulu sewajarnya tidak memberikan ‘tempias’ kewangan dalam bentuk pulangan pelaburan kepada LTAT ketika ini.

Katanya, ini kerana pertimbangan untuk mengambil alih projek AES daripada dua syarikat terbabit dibuat secara terperinci, selain diyakini berupaya memberi pulangan positif secara komersial kepada pencarum LTAT.

‘Jana peluang pekerjaan kepada veteran’

“LTAT yakin AES ialah projek yang bagus kerana berupaya memainkan peranan positif ke arah menangani kes kemalangan jalan raya seperti diterjemahkan menerusi kajian kendalian United Kingdom dan Amerika Syarikat.

“Model kewangan LTAT juga memberi jaminan bahawa wujud situasi ‘menang-menang’ bagi pelbagai pihak yang terbabit dalam pelaksanaan projek berkenaan, malah kemampuan menjana pulangan pelaburan secara lestari dalam tempoh diberikan.

“Selain itu, kajian kebolehlaksanaan dan impak komersial dijalankan LTAT mendapati AES mampu menjana peluang pekerjaan kepada veteran pasukan tentera,” katanya.

Related Articles

Leave a Reply