Home SemasaGlobal Amerika tawar jet pejuang F-22 kepada Jepun

Amerika tawar jet pejuang F-22 kepada Jepun

by M.Daim

TOKYO, 23 Ogos – Pengeluar F-22A Raptor, Lockheed Martin telah mencadangkan agar syarikat pertahanan Jepun untuk mengambil alih lebih daripada separuh keseluruhan kerja-kerja pembangunan dan penghasilan jet pejuang baharu.

Syarikat Lockheed Martin yang berpangkalan di Amerika Syarikat merupakan pengeluar siri jet pejuang stealth F-22A dan F-35 yang digunakan oleh pasukan tentera di Amerika Syarikat. Berbeza dengan F-22A yang digunakan secara esklusif oleh Tentera Udara Amerika Syarikat (USAF), F-35 merupakan siri pesawat stealth yang turut digunakan oleh beberapa negara termasuk Jepun.

Syarikat tersebut telah menawarkan siri jet pejuang F-22A yang diperbaharui kepada Jepun. Walaupun begitu, tawaran tersebut tidak bermakna Amerika Syarikat akan membuka pasaran eksport F-22A. Menurut laporan Nikkei Asian Review, tawaran diberikan kepada Negara Matahari Terbit itu adalah berdasarkan taksiran risiko kebocoran teknologi yang rendah.

Selain daripada itu, pihak Lockheed Martin yakin dengan tawaran jet pejuang F-22A baharu kepada Jepun akan membantu sekutu Amerika Syarikat di Asia Timur itu untuk lebih komited dalam menjaga keamanan serantau.

Cadangan yang dikeluarkan oleh Lockheed Martin adalah bagi menjawab kebimbangan Tokyo akan berlakunya monopoli oleh firma-firma pertahanan dari Amerika Syarikat. Pada hakikatnya,menurut Lockheed Martin, pembangunan dan pengeluaran jet pejuang untuk Jepun akan diketuai sendiri oleh industri pertahanan Jepun.

Jet pejuang generasi ke-5 ini dicadangkan untuk mengantikan jet pejuang F-2 keluaran Mitsubishi dan Lockheed Martin. F-2 merupakan jet pejuang keluaran Jepun yang dibangunkan dari siri jet pejuang F-16 Fighting Falcon.

F-2 yang digunakan oleh Japan Air Self-Defense Force (JASDF) dijangka akan ditamatkan perkhidmatannya pada tahun 2030 kelak.

Pada ketika ini, Tokyo sedang berbincang dengan pihak industri pertahanan di Jepun untuk membangunkan jet pejuang baharu namun cadangan tersebut menemui jalan buntu apabila isu penguasaan teknologi dalam negara dan juga kos pengeluaran menjadi penghalang.

Pembangunan F-22A baharu untuk Jepun dijangka akan menelan sebanyak USD$ 54.2 bilion yang merangkumi pembangunan, pengeluaran dan penyelenggaraan.

F-22A Raptor mula diperkenalkan pada tahun 2005 dan kali terakhir dikilangkan adalah pada tahun 2011. Sehingga hari ini, sebanyak 187 buah jet pejuang tersebut beroperasi dalam perkhidmatan USAF. Pengeluaran F-22A dihentikan di Amerika Syarikat kerana faktor kos.

Selain daripada itu, cadangan pengeluaran F-22A baharu di Jepun oleh Lockheed Martin dijangka akan membantu pengurangan kos yang ditanggung oleh Amerika Syarikat.

Lockheed Martin turut dilaporkan akan menghantar sejumlah F-22A yang tidak sempat ditauliahkan kedalam perkhidmatan USAF ke Jepun bagi mempercepatkan proses pembangunan jet pejuang tersebut.

 

Related Articles

Leave a Reply