Home Pertahanan dan Keselamatan Kehilangan Radiografi Industri tiada kaitan dengan keganasan

Kehilangan Radiografi Industri tiada kaitan dengan keganasan

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 21 Ogos – Polis mengesahkan tidak menemui sebarang petunjuk mengaitkan misteri kehilangan Alat Radiografi Industri (RDD) milik sebuah syarikat di Shah Alam pada 10 Ogos lalu dengan sebarang kegiatan keganasan.

Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor berkata, pihaknya masih lagi menjalankan siasatan lanjut bagaimana alat yang memancarkan sinar beriadiasi Gamma dan Beta itu boleh hilang dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan (Curi).

Katanya, sehubungan itu, pihaknya masih giat menjalankan kerjasama dengan Lembaga Pelesenan Tenaga Atom (AELB) bagi mengesan alat berkenaan.

“Kami difahamkan bahawa alat yang mengandungi Iridium 192 berkenaan mampu menjejaskan kesihatan seseorang jika ia terdedah dalam tempoh tertentu.

“Antara akibatnya adalah seperti kesan awal seperti pening, muntah dan loya jika terdedah dalam kadar kurang 500 millisievert (mSv).

“Sekiranya dos diterima melebihi 500 mSv, seseorang itu akan mengalami kesan deterministik seperti kulit terbakar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, Mazlan meminta kerjasama orang ramai yang mengetahui mengenainya untuk menyalur sebarang maklumat dengan menghubungi pegawai penyiasat, Asisten Superintendan Yong Meng Heng di talian 019-5753399 atau mana-mana balai polis berdekatan.

Semalam, NSTP melaporkan sebuah alat Radiografi Industri berharga RM75,000 dan seberat 23 kilogram (kg) milik sebuah syarikat di Kota Kemuning, Shah Alam dilaporkan hilang ketika dalam perjalanan dari Seremban, Negeri Sembilan ke Shah Alam, Selangor antara jam 2 pagi hingga jam 3 pagi.

Alat berkenaan turut dikhuatiri disalah guna termasuk oleh pengganas bagi menghasilkan alat penyebaran radiologikal atau bom kotor (dirty bom).

Kehilangan alat itu dilaporkan oleh salah seorang daripada dua juruteknik syarikat berkenaan yang kemudian ditahan sebelum kedua-duanya dibebaskan pada 17 Ogos lalu.

Related Articles

Leave a Reply