Home Semasa Kerjasama dengan Malaysia Baharu tingkatkan hubungan dua hala – Lee Hsien Loong

Kerjasama dengan Malaysia Baharu tingkatkan hubungan dua hala – Lee Hsien Loong

by Noor Sheila Amin

SINGAPURA, 20 Ogos – Singapura berharap dapat bekerjasama dengan pentadbiran baharu Malaysia untuk meningkatkan lagi hubungan dua hala, kata Perdana Menteri Lee Hsien Loong.

“Saya berharap bersama (Perdana Menteri Tun) Dr Mahathir (Mohamad) dan pasukan baharunya, kami dapat membangunkan perkongsian yang teguh, melihat ke hadapan dan maju bersama,” kata Lee berucap dalam Bahasa Inggeris sempena Sambutan Hari Kebangsaan (NDR) 2018 hari ini.

Untuk NDR, Lee menyampaikan ucapannya dalam tiga bahasa, bermula dengan Bahasa Melayu, diikuti Mandarin dan Inggeris.

Lee berkata asas utama hubungan dengan Malaysia tidak berubah.

“Kita mempunyai hubungan persaudaraan, sejarah, geografi dan ekonomi yang rapat. Kita perlu bekerjasama untuk menangani cabaran yang sama, dan apabila kepentingan kita berbeza, kita mesti mencari cara yang konstruktif untuk menyelesaikan perbezaan itu.

“Jika hubungan Singapura-Malaysia terus rapat dan stabil, …kita boleh meneruskan kerjasama sama-sama menang, dan kita juga boleh memberi tumpuan kepada keutamaan dalam negara masing-masing-masing …dan kita ada banyak, …begitu juga dengan rakyat Malaysia,” katanya.

Lee berkata, pentadbiran baharu Malaysia mempunyai gabungan bakat muda dan pemimpin berpengalaman.

“Sudah tentu Dr Mahathir bukan baru kepada kami. Kami telah bekerjasama dengannya sebelum ini. Kali terakhir semasa beliau menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun hingga 2003,” katanya.

Lee berkata, Singapura mengatur beberapa projek penting dengan Malaysia di bawah kepimpinan Dr Mahathir, termasuk Laluan Kedua dan empangan Lingui di Johor.

Lee mengakui Dr Mahathir dan pasukannya mahu mengkaji dan mengubah banyak dasar yang ditetapkan oleh kerajaan sebelum ini.

“Saya menghargai sebabnya, namun beberapa kajian semula itu menjejaskan projek semasa Singapura dengan Malaysia, termasuk projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi ​​(HSR) dan rangkaian RTS (Rail Transit System) ke Johor.

“Kami menyertai kedua-dua projek itu dengan niat baik selepas menjalankan rundingan yang teliti memandangkan projek terbabit memberi manfaat kepada kedua-dua negara. Kini, Malaysia mahu menangguhkan HSR,” katanya.

Lee berkata, HSR dan RTS membabitkan perjanjian yang mengikat secara sah.

“Ia (perjanjian) jelas menunjukkan kewajipan setiap pihak, dan apa yang akan berlaku jika ada pihak yang mahu menukar atau menamatkan perjanjian. Kedua-dua pihak perlu melaksanakan apa yang telah dipersetujui kecuali kita sama-sama bersetuju mengubah syaratnya,” kata Lee.

Menteri Pengangkutan Singapura, Khaw Boon Wan dan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bertemu di Singapura secara rasmi pada 11 Ogos bagi membincangkan projek HSR, dan bersetuju untuk meneruskan perbincangan pada minggu-minggu akan datang.

Mengenai Perjanjian Air 1962 yang ditandatangani dengan Malaysia, Lee ringkas menyatakan bahawa : “Perjanjian air itu sangat penting. Kami mesti mengikuti sepenuhnya syarat-syarat yang ditetapkan.”

Singapura sebelum ini menyatakan bahawa ia akan menghormati sepenuhnya terma Perjanjian Air 1962 dengan Malaysia, termasuk harga air yang ditetapkan.

Dr Mahathir telah beberapa kali secara terang-terangan mengatakan mengenai niat Malaysia untuk mengkaji perjanjian air 1962, dan baru-baru ini menyatakan mengenai kemungkinan untuk meningkatkan harga air yang dijual ke Singapura lebih daripada 10 kali ganda.

Related Articles

Leave a Reply