Home Politik Pemimpin MIC jumpa Hadi bincang isu keharmonian kaum

Pemimpin MIC jumpa Hadi bincang isu keharmonian kaum

by Nurulhuda

PETALING JAYA, 19 Ogos – Pemimpin utama PAS dan MIC hari ini mengadakan pertemuan bagi mencapai kata sepakat dalam menjalinkan kerjasama, khususnya dalam usaha menjaga kebajikan serta keharmonian kaum di Malaysia.

Setiausaha politik presiden PAS, Syahir Sulaiman berkata Abdul Hadi bersikap terbuka terhadap usaha menjalin kerjasama dengan MIC dengan mengetepikan perbezaan politik demi kebaikan rakyat pelbagai kaum.

“PAS menyambut baik keterbukaan MIC yang menunjukkan kesediaan untuk bekerjasama dalam agenda kebajikan rakyat dan keharmonian kaum dalam negara.

“Presiden PAS merakamkan setinggi penghargaan kepada presiden MIC atas pertemuan yang bersejarah ini, serta bersedia untuk meneruskan usaha dialog antara kaum dan agama, demi mewujudkan perubahan yang lebih baik dalam negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kata sepakat itu dicapai dalam pertemuan antara Hadi dengan Presiden MIC, Tan Sri S A Vigneswaran di ibu pejabat PAS di Kuala Lumpur, hari ini.

Turut hadir Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Setiausaha Agung, Datuk Takiyuddin Hassan, Ketua Dewan Himpunan PAS, N Balasubramaniam, Timbalan Presiden MIC Datuk Seri Devamany dan Ketua Pemuda MIC, Datuk Sivarrajah.

Syahir berkata menerusi pertemuan itu Hadi turut menekankan kepentingan berkongsi pandangan antara kaum dalam usaha mewujudkan suasana harmoni dalam negara pelbagai kaum seperti Malaysia.

Jelas Syahir, Vigneswaran secara terbuka turut menyatakan kesediaan untuk menjalinkan kerjasama dengan PAS, termasuklah membantu calon parti Islam itu Dr Halimah Ali dalam pilihan raya kecil (PRK) di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia, 8 September depan.

“Presiden MIC menyatakan kesediaan untuk menjalin kerjasama dalam pelbagai aspek demi kepentingan bersama, termasuk kesediaan untuk memberi sokongan terhadap calon PAS,” katanya.

PAS sebelum ini menekankan pihaknya terbuka mengadakan kerjasama dengan pelbagai pihak, termasuklah lawan politik jika ia mendatangkan kebaikan untuk rakyat.

Sebelum ini MIC antara parti yang menolak Rang Undang-undang Akta Mahkamah Syariah (Bidang kuasa Jenayah) 1965 (RUU355).

Bekas presiden MIC, Datuk Seri S Subramaniam sebelum ini dilaporkan berkata, penolakan itu kerana pihaknya tidak diberi maklumat terperinci mengenainya.

Related Articles

Leave a Reply