Home Semasa Jumlah sitaan wang tunai cecah RM1.47j – SPRM

Jumlah sitaan wang tunai cecah RM1.47j – SPRM

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 12 Ogos – Jumlah sitaan wang tunai susulan penahanan 17 pegawai dan pengawal keselamatan Jabatan Perdana Menteri (JPM) oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selasa lalu, kini mencecah kira-kira RM1.47 juta.

Jumlah itu bertambah RM280,000 daripada jumlah sitaan wang tunai RM1.19 juta yang diumumkan oleh SPRM, kelmarin.

Penambahan itu adalah hasil rampasan terbaharu oleh SPRM susulan daripada siasatan berterusan yang dijalankan.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki ketika dihubungi NSTP, pagi ini mengesahkan perkara itu.

Secara keseluruhan, SPRM kini menyita wang tunai berjumlah RM1.47 juta, tujuh buah kereta, 12 motosikal, lima bentuk cincin, seutas gelang, empat utas rantai, 11 unit telefon bimbit serta perkakas elektrik.

Tujuh buah kereta terbabit ialah sebuah Volkswagen Golf GTI , tiga buah Honda, dan masing-masing sebuah Subaru Impreza, Toyota Vios dan Perodua Alza manakala 12 motosikal pula terdiri daripada lima buah berjenama Yahama dan selebihnya berjenama Honda.

Menurutnya, kesemua kenderaan dan barangan yang disita itu kini masih dalam proses penilaian harga.

Rabu lalu, akhbar NSTP melaporkan seramai 17 pengawal keselamatan di JPM, direman lima hari bagi membantu siasatan berhubung salah guna kuasa dan penyelewengan dana Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) RM3.5 juta.

Mereka yang ditahan termasuk seorang pegawai keselamatan Gred KP52 berusia 51 tahun dan 16 pengawal keselamatan masing-masing Gred KP11 hingga KP38 berusia antara 31 hingga 51 tahun yang bertugas di Kompleks B, JPM.

Aset dan wang tunai itu dipercayai hasil penyalahgunaan wang peruntukan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang dipercayai diambil mereka daripada pejabat bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Sejurus ditahan Selasa lalu, SPRM merampas wang tunai RM840,700 dan sembilan buah motosikal bernilai RM90,000 daripada semua suspek.

Related Articles

Leave a Reply