Home Semasa Kapal Equanimity tidak dipamer kepada umum- PM

Kapal Equanimity tidak dipamer kepada umum- PM

by Air Times News Network

PELABUHAN KLANG, 11 Ogos – Kapal mewah Equanimity tidak akan dipamerkan kepada umum bagi menjaga kualiti serta kekemasan kapal itu, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perdana Menteri berkata, ia bagi mengelakkan persepsi negatif kepada bakal pembeli yang boleh menyebabkan kapal itu mengalami susut nilai yang banyak.

“Kalau sampai 100 orang dibenarkan masuk ke dalam kapal ini kita bimbang ia akan merosakkan kapal. Jadi, bakal pembeli mungkin tidak mahu (beli).

“Hiasan dalaman kapal ini sangat mewah, sangat cantik. Perabot yang ada dalam kapal ini saya sendiri pun tidak pernah lihatnya.

“Begitu juga bilik tidurnya. Kita boleh tidur sambil melihat keindahan langit,” katanya pada sidang media selepas melakukan tinjauan di dalam kapal mewah Equanimity di Terminal Boustead Cruise Centre di sini, hari ini.

Hadir sama, Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu; Menteri Kewangan, Lim Guan Eng;Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin; Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun.

Sebelum ini, Guan Eng pernah mencadangkan kapal mewah itu dipamerkan kepada umum sebelum dijual.

Beliau berkata, jika tidak dibenarkan melihatnya keseluruhan kapal, tetapi setidak-tidaknya orang ramai diberi peluang melihat sebahagian daripada strukturnya.

Kapal layar mewah itu tiba di Pelabuhan Klang pada Selasa, selepas Kerajaan Indonesia merampasnya pada Februari lalu sebagai sebahagian siasatan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) terhadap isu 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Terdahulu, Malaysia mengeluarkan waran untuk merampas secara rasmi kapal layar mewah berharga AS$250 juta (RM1.02 bilion) itu di tengah insiden tarik tali antara Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan ahli perniagaan Low Taek Jho atau Jho Low.

Pejabat Peguam Negara mengeluarkan waran tangkap 6 Ogos lalu supaya kapal layar itu dirampas mengikut undang-undang Malaysia.

Kapal layar mewah itu, yang dirampas polis Indonesia Februari lalu, adalah antara aset bernilai AS$1.7 bilion (RM6.93 bilion) yang dikatakan penyiasat Amerika Syarikat (AS) dibeli secara haram menggunakan wang disalurkan daripada dana 1MDB.

Malaysia turut mengeluarkan waran tangkap terhadap Jho Low yang masih bebas.

Berikutan itu, Jho Low memfailkan notis kepada sebuah mahkamah daerah California Isnin lalu untuk mengarahkan Kerajaan AS mendedahkan maklumat berhubung pemindahan kapal mewah, Equanimity ke Malaysia.

Sebelum ini, Peguam yang mewakili 1MDB dan kerajaan Malaysia, Jeremy Joseph berkata, kos penyelenggaraan kapal itu dianggarkan berjumlah RM3 juta sebulan. serta akan ditanggung oleh Kerajaan Malaysia.

Dalaman kapal itu dikatakan dihiasi dengan daun emas dan mamar, spa, dan sauna, kolam renang 20 meter di dek, panggung wayang, lif dan helipad.

Related Articles

Leave a Reply