TEHRAN, 8 Ogos – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump melarang dunia berdagang dengan Iran selepas Washington melancarkan semula sekatan terbesar ke atas negara itu.
Ia sekali gus mencetus kemarahan, kebimbangan dan bantahan di republik Islam itu.
Sekatan terbaharu yang dikenakan itu yang menyasarkan akses kepada mata wang AS dan industri utama seperti kereta dan permaidani, tidak mungkin menyebabkan pergolakan ekonomi dalam masa terdekat.
Pasaran Iran sebaliknya agak memberangsangkan, dengan peningkatan rial sebanyak 20 peratus sejak Ahad lalu selepas kerajaan melonggarkan peraturan pertukaran wang asing dan membenarkan import emas dan mata wang tanpa had dan bebas cukai.
Namun fasa kedua sekatan yang bermula pada 5 November dan menyasarkan sektor minyak Iran, mungkin jauh lebih menjejaskan walaupun beberapa pelanggan utama seperti China, India dan Turki ketara enggan mengurangkan pembelian mereka.
“Sesiapa yang berniaga dengan Iran tidak akan berdagang dengan Amerika Syarikat. Saya hanya mahukan ‘Keamanan Dunia’, tidak lebih dari itu,” kata Trump di Twitter.
Kerajaan Eropah yang turut menandatangani perjanjian nuklear Iran bersama-sama dengan Washington berang dengan strategi Trump yang memaksa banyak firma besar mereka untuk meninggalkan Iran kerana takut dikenakan penalti oleh AS.
Trump berkata Isnin lalu, beliau masih terbuka untuk perbincangan baru bagi mencapai perjanjian yang lebih komprehensif dengan Iran.