Home Semasa Malaysia sedia hantar bantuan ke Lombok – Saifuddin

Malaysia sedia hantar bantuan ke Lombok – Saifuddin

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 6 Ogos – Malaysia sedia menghantar bantuan kemanusiaan susulan gempa bumi bermagnitud 6.9 di pulau Lombok, Bali, semalam.

Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah, berkata pihaknya menunggu maklum balas dari Indonesia untuk mengerahkan pasukan ke sana.

“Saya sudah menghubungi Menteri Luar Indonesia, Retno Marsudi, untuk menyampaikan takziah dan setakat ini, mereka belum meminta bantuan kemanusiaan dari Malaysia.

“Bagaimanapun, Kedutaan Malaysia di Jakarta sudah menghantar beberapa pegawai ke Lombok sejak kejadian gempa bumi pertama (29 Julai).

“Mereka masih di Lombok dan telah menghubungi lebih 190 orang rakyat Malaysia di sana, yang semuanya selamat.

“Kita sedang menguruskan mereka untuk dibawa pulang ke Malaysia,” katanya ketika ditemui di Lobi Parlimen, hari ini.

Pada 29 Julai lalu, seorang rakyat Malaysia meninggal dunia, manakala enam lagi parah selepas gempa bumi bermagnitud 6.4 melanda pulau Lombok.

Gegaran kedua dilaporkan malam tadi dan setakat ini, angka kematian meningkat kepada 82 orang, manakala ratusan dilaporkan cedera.

Related Articles

Leave a Reply