Pensyarah kanan di Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr. Muzaffar Syah Mallow menjelaskan bahawa, Gabungan Kumpulan Wanita Bertindak bagi Kesamarataan Gender (JAG) telah menyerahkan Rang Undang-Undang Cadangan Gangguan Seksual kepada Kementerian Sumber Manusia pada 30 Mac 2001.

“Sekiranya perkara itu dikuat kuasa sebagai akta kelak, ia akan memudahkan jalan kepada mangsa gangguan seksual mendapat bantuan untuk menghentikannya.

“Rang undang-undang itu berbentuk pencegahan serta mengesyorkan mekanisme-mekanisme tertentu bagi menangani masalah gangguan seksual,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sebelum ini, Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) menggesa kerajaan mewujudkan akta khusus bagi menangani isu gangguan seksual di tempat kerja.

Langkah itu perlu berikutan semakin banyak kes gangguan seksual di tempat kerja berlaku walaupun kementerian berwajib telah memperkenalkan kod amalan berhubung perkara berkenaan.