Home SemasaGlobal Kapal Tentera Laut British bersama aset Amfibi berlabuh di Tokyo

Kapal Tentera Laut British bersama aset Amfibi berlabuh di Tokyo

by Air Times News Network

TOKYO, 3 Ogos – Kapal Tentera Laut British, HMS Albion yang membawa aset kelengkapan amfibi tiba di Pelabuhan Harumi Pier, Tokyo pada Jumaat lalu sebagai langkah memperkukuhkan hubungan ketenteraan Britain di Asia Timur yang dianggap penting bagi keamanan global serta kemakmuran ekonomi sekiranya ia keluar dari Kesatuan Eropah.

HMS Albion tiba di Pelabuhan Harumi Pier, Tokyo. Foto: Reuters

Kapal perang seberat 22,000 tan yang merupakan kapal perang tentera laut terbesar itu berlabuh di Tokyo setelah kali terakhir melawat jepun kira-kira 26 tahun yang lalu. Kapal tersebut akan dibuka untuk lawatan kepada eksekutif pertahanan, pegawai kerajaan dan orang awam. Selain itu, seramai 120 orang anak kapal akan melaksanakan latihan pendaratan bersama Angkatan Tentera Pertahanan Jepun bersama aset amfibi di pantai berhampiran Gunung Fuji.

Kenderaan perisai amfibi Viking dilihat di dok pengangkut HMS Albion, selepas berlabuh di Pelabuhan Harumi Pier, Tokyo. Foto: Reuters

“Lawatan kami di sini adalah bukti kepada capaian tentera laut Britain yang sangat global dan sudah tentu bertujuan untuk membina ikatan hubungan kami dengan Jepun,” kata Komander Albion, Kapten Tim Neild, sewaktu sidang media selepas kapalnya berlabuh di sebuah dermaga berhampiran pembinaan projek kampung atlet untuk Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Apabila Asia memacu pertumbuhan ekonomi global dan pendekatan Brexit, Britain telah mencari hubungan ekonomi yang lebih dekat dengan ekonomi terbesar di rantau ini termasuk China, namun mensasarkan Jepun sebagai ikatan hubungan keselamatan yang lebih mendalam.

Menerusi sekutunya Amerika Syarikat (AS), Jepun merupakan pengaruh terkuat terhadap China di rantau ini, termasuk kawalannya yang semakin meningkat ke atas pembinaan pangkalan di terumbu dekat perairan Laut China Selatan. Jepun turut ingin bekerjasama lebih banyak dengan sekutu yang berpotensi selain AS sebagai sebahagian daripada peranan keselamatan serantau yang lebih besar. Bagi Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe, langkah kerajaan ialah kembali dari jawatan pasca Perang Dunia Kedua yang melarang penggunaan tentera dari luar negara.

Mesyuarat tetap menteri luar dan menteri pertahanan di antara Tokyo dan London telah diadakan sejak tahun 2015 juga sering membincangkan kerjasama antara kedua negara untuk membangunkan peralatan ketenteraan baharu.

Duta Besar United Kingdom ke Jepun, Paul Madden, berkata latar belakang kerjasama yang semakin meningkat adalah berikutan “ketegangan di Semenanjung Korea serta cabaran yang lebih luas terhadap sistem antarabangsa yang berasaskan peraturan”. Ujarnya dalam satu sidang media sebelum lawatan kapal tersebut ke Tokyo.

Sebelum ini, Albion berlabuh di Yokosuka yang terletak bersebelahan pangkalan kapal pengangkut ketujuh AS, USS Ronald Reagan yang berperanan mengawal perairan di sekitar Korea Utara sebagai sebahagian operasi menguatkuasakan sekatan PBB ke atas Pyongyang untuk menghentikan program nuklear dan peluru berpandunya.

Albion dijangkakan akan meninggalkan Asia Timur pada awal bulan hadapan untuk menyertai satu latihan tentera laut di Timur Tengah dan akan digantikan dengan kapal HMS Argyll. Albion sebelum itu mengambil alih dari HMS Sutherland.

Pelayaran ke barat akan diteruskan melalui Laut China Selatan, di mana merupakan laluan utama perdagangan antarabangsa dan menjadi pertelingkahan tuntutan di antara China dan sebahagian negara-negara Asia Tenggara.

Terdahulu, AS telah menghantar kapal perangnya untuk mencabar kawalan Beijing agar membuka laluan trafik antarabangsa di laluan itu.

“United Kingdom mematuhi sistem berasaskan peraturan seperti mana Jepun dan banyak negara lain, dan kami komited mempertahankan sistem itu walau di mana sahaja kami beroperasi”. Ujar Neild ketika ditanya pemberita mengenai aktiviti ketenteraan China di Laut China Selatan dan Laut China Timur. – Reuters

Related Articles

Leave a Reply