Timbalan Pengerusi SPR, Tan Sri Othman Mahmood berkata, Mesyuarat Khas bagi membincangkan tarikh-tarikh penting PRK DUN Balakong juga menetapkan 18 Ogos ini sebagai hari penamaan calon.

Beliau berkata, sebanyak 62,219 pemilih berdaftar layak mengundi bagi PRK DUN Balakong iaitu mengikut daftar pemilih sehingga suku pertama 2018 yang telah dikemaskini sehingga 2 Julai lalu.

“Beberapa penambahbaikan akan dilakukan dalam PRK kali ini termasuk waktu mengundi iaitu bermula pukul 8 pagi hingga 5.30 petang selain penambahan saluran kepada pengundi berumur 60 tahun ke atas,” katanya dalam sidang akhbar PRK DUN Balakong di sini hari ini.

Menurut Othman, pihaknya telah menerima pemakluman rasmi daripada Speaker DUN Selangor, Ng Suee Lim pada Jumaat lalu berhubung dengan kekosongan kerusi DUN berkenaan.

Katanya, pemakluman tersebut ekoran kematian penyandang kerusi DUN berkenaan iaitu mendiang Ng Tien Chee pada 20 Julai lalu dalam satu kemalangan jalan raya di Kilometer 11.7 Lebuhraya Grand Saga.

Tien Chee terbunuh selepas kenderaan pacuan empat roda jenis Nissan X-Trail yang dipandunya melanggar bahagian belakang sebuah lori pencuci jalan, mendiang maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Pada pilihan raya umum lalu, Tien Chee berjaya mengekalkan kerusi DUN Balakong untuk penggal kedua selepas menewaskan calon Barisan Nasional (BN) dan Pas dengan majoriti 35,538 undi.