Home PolitikPakatan Harapan Umno masih kuat, DAP ingatkan PH

Umno masih kuat, DAP ingatkan PH

by Nurulhuda

GEORGE TOWN, 29 Jul – Pakatan Harapan (PH) tidak boleh bersikap sambil lewa walapun ia kini memegang tampuk kekuasaan, kata timbalan pengerusi DAP, Chow Kon Yeow semalam.

Ketua menteri Pulau Pinang itu berkata, perkembangan yang menyaksikan ramai meninggalkan Barisan Nasional (BN) berikutan kekalahannya dalam pilihan raya umum 9 Mei lepas hanya menguatkan lagi kedudukan Umno.

“Jangan lupa Umno mempunyai lebih 50 kerusi Parlimen di Semenanjung sahaja dan lebih lagi di Sabah.

“Walaupun DAP dan PKR masing-masing mempunyai lebih 40 kerusi, namun berdasarkan jumlah kerusi pembangkang sebelum ini, realitinya ia kurang berbanding kerusi dimiliki Umno.

“Umno mungkin pembangkang sekarang, tetapi mereka kuat,” kata Chow pada majlis pelancaran pusat khidmat Parlimen Jelutong semalam.

Antara pemimpin DAP yang hadir ialah bekas ketua menteri, Lim Guan Eng dan Ahli Parlimen Jelutong RSN Rayer.

Beliau berkata, beberapa kenyataan pemimpin Umno yang menjangkakan PH akan tumbang harus menjadi peringatan kepada pemimpin PH supaya bekerja kuat.

Merujuk kepada kenyataan presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan setiausaha agung parti itu, Tan Sri Annuar Musa, Chow berkata, mereka sudah pun bercakap tentang kejatuhan pakatan pemerintah itu walaupun ia baru memegang kuasa kurang daripada 3 bulan.

Katanya, kenyataan tersebut menunjukkan sikap tidak boleh menerima kekalahan atas kemenangan PH, tetapi juga harus mendorong PH bekerja lebih kuat.

“Kenyataan itu harus mendorong kita merapati rakyat, terus menggubal dasar untuk mereka dan mendapat sokongan rakyat seperti yang kita lakukan di Pulau Pinang.

“Kita tidak akan menjadi kerajaan satu penggal di peringkat persekutuan,” katanya.

Related Articles

Leave a Reply