Home Semasa ‘Husna’ rela dibenci

‘Husna’ rela dibenci

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 28 Jul – Pelakon, Niena Baharun mengakui, masih tidak percaya apabila watak Husna yang dilakonkannya dalam drama, Jangan Benci Cintaku menjadi kebencian penonton.

Niena yang mula dikenali menerusi drama, Sayangku Kapten Mukhriz berkata, dia langsung tidak tertekan, biarpun menerima pelbagai komen peminat yang marah dan menghentamnya di laman sosial.

Kebencian peminat terhadap watak antagonis dalam drama arahan Pali Yahya itu turut membuatkan gandingannya, Zahirah MacWilson bimbang kerana Niena, 25, sedang enam bulan hamil anak sulung.

“Saya tidak sangka Husna begitu dibenci peminat. Mungkin kerana dia mengganggu suami orang, menyebabkan ramai yang geram. Tidak mengapa, teruskan membenci kerana itu bermakna lakonan saya menjadi.

“Bayangkan kerana watak itu, Zahirah risau dan menghubungi saya untuk bertanya khabar. Dia bimbang saya tertekan, tambahan pula saya sedang hamil.

“Saya sempat menenangkan Zahirah dan memberitahu, saya tiada masalah dikecam peminat. Malah, saya selamba melayan pelbagai komen penonton yang meluahkan perasaan marah terhadap Husna di laman sosial,” katanya.

Niena yang mendirikan rumah tangga pada 1 Februari lalu menyifatkan, penerimaan peminat itu sebagai rezeki dan tuah bayi yang bakal dilahirkan November nanti.

“Alhamdulillah, mungkin juga rezeki bakal anak apabila lakonan saya menjadi. Ketika penggambaran drama ini, saya baru tiga bulan hamil.

“Syukur kerana semuanya berjalan dengan baik dan saya tidak berdepan masalah besar sepanjang penggambaran. Melihat reaksi penonton, lega rasanya segala kerja keras saya selama ini dihargai,” katanya.

Beralih kepada kehamilannya, Niena berkata, dia dan suaminya, Aliff Firdaus sepakat untuk terlebih dahulu merahsiakan jantina bayi yang bakal dilahirkan.

“Sejak hamil ini, selera saya lebih terbuka untuk menikmati masakan kampung. Saya berdoa semua urusan dipermudahkan, maklum ini pengalaman pertama hamil,” katanya.

Related Articles

Leave a Reply