Home Semasa Megat Zaharuddin Pengerusi FELDA yang baharu

Megat Zaharuddin Pengerusi FELDA yang baharu

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 27 Jul – Kerajaan melantik Tan Sri Megat Zaharuddin Megat Mohd Nor, sebagai Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) yang baharu berkuat kuasa 27 Julai 2018.

FELDA dalam satu kenyataan berkata, Megat Zaharuddin mempunyai pengalaman luas dalam sektor korporat dengan pernah berkhidmat sebagai Pengerusi dan ahli Lembaga Pengarah Maybank sebelum meletakkan jawatannya pada 31 Mac 2017.

Katanya, beliau turut memiliki pengalaman luas dalam sektor minyak dan gas selama 31 tahun, selain pernah menjadi Pengerusi Maxis Communications Bhd dan berkhidmat dengan Etiqa Insurance & Takaful, Lembaga Getah Malaysia, Maybank Investment Bank Bhd serta Unit Pelaksanaan dan Prestasi Pendidikan di Kementerian Pendidikan.

Selain Megat Zaharuddin, FELDA turut melantik tujuh ahli Lembaga Pengarah baharu (tidak termasuk Pengerusi) yang terdiri daripada tokoh profesional berkuat kuasa pada tarikh yang sama.

Pelantikan itu seiring dengan komitmen kerajaan di bawah kepimpinan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang mahu syarikat berkaitan kerajaan tidak lagi mempunyai sebarang jawatan atas perlantikan politik.

Megat Zaharuddin sebagai Pengerusi baharu FELDA mencerminkan aspirasi itu kerana beliau bukanlah seorang ahli politik.

Ia sekali gus menamatkan spekulasi pengganti Tan Sri Shahrir Abdul Samad yang meletakkan jawatannya sebagai Pengerusi FELDA pada 14 Mei 2018 yang lalu.

Shahrir yang mula memegang jawatan itu pada 1 Januari 2017, menyerahkan surat peletakan jawatannya itu kepada Dr Mahathir.

Bersama-samanya ketika itu yang turut meletakkan jawatan adalah tiga ahli Lembaga Pengarah FELDA yang dilantik atas kapasiti politik iaitu Datuk Abu Bakar Harun, Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib dan Datuk Mohd Isa Abu Kasim.

Peletakan jawatan mereka itu adalah susulan kekalahan Barisan Nasional (BN) pimpinan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

FELDA ditubuhkan pada 1 Julai 1956 di bawah Ordinan Kemajuan Tanah 1956 bagi pembangunan tanah dan penempatan semula dengan objektif pembasmian kemiskinan melalui penanaman tanaman minyak sawit dan getah.

Antara fungsi FELDA adalah untuk melaksanakan projek-projek pembangunan tanah dan aktiviti pertanian, perindustrian dan komersial sosial ekonomi.

Senarai Pengerusi FELDA

Tan Sri Shahrir Abdul Samad
Mula Berkhidmat: 1 Januari 2017

Tan Sri Isa Samad
Mula Berkhidmat: 1 Januari 2011

Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor
Mula Berkhidmat: 1 Julai 2001

YM Raja Tan Sri Muhamad Alias
Mula Berkhidmat: 1 Mei 1979

Datuk Harun Arifin
Mula Berkhidmat: 1 Januari 1973

Tun Musa Hitam
Mula Berkhidmat: 1 September 1971

Tan Sri Taib Andak
Mula Berkhidmat: 14 Oktober 1958

D.E.M Fiennes
Mula Berkhidmat: 1 Ogos 1956

Related Articles

Leave a Reply