Home Pertahanan dan Keselamatan Kawad Goose Step: Kita bukan nak meniru siapa-siapa – Panglima

Kawad Goose Step: Kita bukan nak meniru siapa-siapa – Panglima

by Nurulhuda

BANGI, 26 Jul – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menafikan dakwaan kononnya latihan kawad ‘goose step’ oleh sekumpulan anggota tentera darat yang tular di media sosial baru-baru ini adalah menyerupai latihan kawad tentera komunis.

Ketika ditanya oleh wartawan, Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zulkiple Kassim berkata, isu tersebut sepatutnya dilihat dari sudut lain; bukan dari sudut kesamaan kawad tersebut dengan kawad komunis.

“Jika kamu kata ‘Goose step’ adalah serupa dengan komunis, kenapa gerak kawad sekarang (tidak persoalkan) sama macam British? Apa bezanya (hujah sebegitu)?”

“Kita tidak boleh memberi pandangan negatif berkenaan isu ini kerana ia masih dalam kajian dan latihan sebelum mendapat kelulusan rasmi pelaksanaannya daripada pihak atasan,”

Beliau menegaskan bahawa ‘Goose step’ seharusnya dilihat sebagai salah satu cara orang berkawad dan berkawad merupakan elemen ketenteraan.

Beliau menambah, bahawa penilaian ini tidak bermakna ‘Goose step’ akan dilaksanakan tanpa perbincangan dan penilaian dari segenap sudut.

“Sebab itu pihak ATM hanya diberikan arahan untuk mengkaji dan menilai terlebih dahulu ‘goose step’ ini mengikut kesesuaian fizikal, pakaian, anggota dan sebagainya,” katanya selepas berucap pada Majlis Penutup Kejohanan Olahraga Tentera Darat ke-37, Tahun 2018 di Stadium Universiti Tenaga Nasional di sini hari ini.

Tan Sri Zulkiple berkata, kawad tersebut akan dipersembahkan kepada Panglima Angkatan Tentera dalam masa dua minggu dan seterusnya kepada pihak atasan sebelum mendapat kelulusan.

Goose step merupakan salah satu cara berkawad yang mula diperkenalkan dalam tradisi tentera di Prussia pada abad ke-18. Tradisi kawad tersebut masih diteruskan oleh banyak negara di segenap benua diperingkat global dan ada diantaranya mempunyai variasi tersendiri.

Pada tahun lalu, Qatar telah mula menggunakan kawad “Goose Step” pada perayaan hari kebangsaan mereka. Sebelum itu, Qatar telah mendapat khidmat latihan dari pegawai PLA yang didatangkan khas bagi melatih kawad tersebut.

 

 

 

Related Articles

Leave a Reply