Home PolitikPAS /PPBM / LAIN UMNO nak pujuk, PAS tidak akan turun berkempen – Naib Presiden PAS

UMNO nak pujuk, PAS tidak akan turun berkempen – Naib Presiden PAS

by Nurulhuda

KOTA BAHRU, 24 Jul – Pelawaan pimpinan Umno untuk bertemu pemimpin PAS di Sg Kandis ditafsirkan parti Islam itu sebagai usaha memujuk mereka turun berkempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Kandis.

Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, sehingga kini tiada sebarang perbincangan antara PAS dan Umno berhubung PRK tersebut.

“Kita tak ada perbincangan apa-apa tentang PRK, cuma kita buat keputusan untuk berbanding, dari segi mengundi itu serah pada ahli.

“Mana boleh bersama, kita parti lain-lain. Mungkin itu harapan dia. Dia nak pujuk kita. Kita tidak akan berkempen, turun pun tidak,” jelasnya kepada media di Kompleks Kota Darulnaim di Kota Bahru, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Naib Presiden Umno, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang mendakwa telah bertemu seorang pemimpin PAS untuk mengadakan satu program bersama sempena kempen PRK itu.

Ismail yang juga pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor berkata program itu nanti akan mempertemukan dua parti itu di pentas yang sama, walaupun tidak dianjurkan secara rasmi atas nama parti.

“Sebagai contoh, (boleh diadakan) forum perdana Islam yang menampilkan Syamsul Debat yang mewakili Umno dan Ustaz Azhar Idrus yang mewakili PAS.

“Kita mahu tunjukkan ada kerjasama antara Umno dan PAS. Kalau boleh, mungkin kita letakkan setiausaha agung Umno dan PAS pada malam terakhir (kempen),” kata Ismail.

Malah calon BN, Datuk Lokman Noor Adam juga berkata pihaknya akan mengadakan perjumpaan dengan pemimpin PAS bagi mengajak parti itu bersama-sama BN mendekati pengundi Melayu.

Sebagai rekod, PAS belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi yang menunjukkan parti itu akan berpihak kepada mana-mana parti pada PRK kali ini.

Setiausaha agungnya Datuk Takiyuddin Hassan sebelum ini berkata, ketiadaan calon PAS bukanlah bermakna mereka akan bekerjasama dengan Umno.

Related Articles

Leave a Reply