Home Semasa Agensi kerajaan perlu tubuh taska di tempat kerja mulai 2019 – TPM

Agensi kerajaan perlu tubuh taska di tempat kerja mulai 2019 – TPM

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 24 Jul – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menyasarkan agar semua agensi kerajaan mewujudkan Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska) di tempat kerja awam masing-masing menjelang Januari 2019, terutama yang melibatkan kerja secara syif.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata kementerian itu juga akan bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan supaya Taska dapat diwujudkan di sekolah untuk kemudahan guru yang berkhidmat.

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata kerajaan telah menyediakan pelbagai insentif untuk menggalakkan kewujudan taska di tempat kerja termasuk pemberian subsidi RM180 sebulan bagi yuran pengasuhan untuk seorang anak kepada pegawai yang pendapatan isi rumah tidak melebihi RM5,000 sebulan.

“Bagi sektor majikan swasta pula, insentif pelepasan cukai boleh dituntut daripada kerajaan mengikut pekeliling Jabatan Hasil Dalam Negeri bertarikh 15 Feb 1996, yang mana pengecualian cukai 10 peratus selama 10 tahun bagi ubah suai dan penyenggaraan bangunan untuk penyediaan Taska,” katanya pada sesi Pertanyaan Menteri-menteri di Parlimen hari ini.

Beliau menjawab soalan Siti Zailah Mohd Yusoff (PAS-Rantau Panjang) berkenaan langkah segera kementerian dalam mengawal selia pusat asuhan kanak-kanak termasuk yang di rumah persendirian agar tragedi penderaan seperti yang dialami Allahyarham Adam Rayqal Mohd Sufi tidak berulang lagi.

Dr Wan Azizah berkata antara usaha yang boleh diambil untuk meningkatkan keselamatan kanak-kanak di taska ialah pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) yang akan membolehkan ibu bapa melakukan pemantauan secara jarak jauh melalui aplikasi telefon pintar.

“Sebanyak 4,293 Taska yang didaftarkan di seluruh negara hingga Jun tahun ini. Jadi sebagai usaha yang boleh dilakukan ialah mengambil kira pemasangan prasarana terutama CCTV,” katanya menjawab soalan tambahan Siti Zailah mengenai mekanisma pemantauan terhadap semua Taska awam dan swasta secara terperinci.

Katanya kerajaan juga akan mengkaji bagi mewujudkan piawaian kompetensi merangkumi aspek keselamatan, latihan dan kemahiran asas yang diperlukan seorang pengasuh untuk diguna pakai oleh pengusaha pusat jagaan kanak-kanak.

Related Articles

Leave a Reply