Home Semasa Harapan besar ‘Anak Sarawak’

Harapan besar ‘Anak Sarawak’

by Air Times News Network

KUCHING, 22 Jul – Ketika Sarawak menyertai pembentukan Malaysia, 55 tahun lalu, seorang pemimpin Iban paling dihormati, Tun Temenggong Jugah Barieng, pernah menyatakan negeri ini perlu menerima layanan seadilnya setimpal dengan pengorbanan besar dilakukannya untuk negara ini.

Jugah ketika itu menyatakan ‘anang ajak baka tebu, manis di pun tang tabar ba ujung’ bermaksud ‘jangan sahaja ibarat tebu, manis di pangkal tetapi tawar di hujungnya’ apabila Bumi Kenyalang bersetuju bersama membentuk negara ini pada 16 Mei 1963, sejurus mencapai kemerdekaannya pada 22 Julai tahun yang sama.

Ia jelas memperlihatkan peranan besar negeri ini dalam pembentukan Malaysia, yang sewajarnya dilayan seperti ‘rakan kongsi’ dan bukan sekadar sebuah negeri, lebih-lebih lagi dengan saiz yang cukup luas, atau mewakili 38 peratus dari keluasan keseluruhan negara ini.

Ini ditambah lagi dengan kepelbagaian sumber dimiliki, menjadikannya ‘bumi bertuah’ yang banyak menyumbang kepada pembangunan dan sosioekonomi negara, terutama di Semenanjung, walaupun jumlah populasinya hanya 10 peratus dari jumlah keseluruhan penduduk Malaysia.

Bagi Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg, beliau cukup berbangga dapat melihat sendiri transformasi sepanjang 55 tahun ia mencapai kemerdekaan dan bersama membentuk negara ini.

Bagaimanapun, masih banyak perlu dilakukan, terutama dalam konteks pembangunan negeri dan agenda pemerkasaan sosioekonomi ‘Anak Sarawak’, dengan tanggungjawab itu perlu digalas bersama oleh Kerajaan Persekutuan.

Hak, keistimewaan dijanjikan

Malah, perkara itu jelas termaktub sebagai antara hak dan keistimewaan dijanjikan kepada Sarawak dalam Perjanjian Malaysia 1963, apabila kepemimpinan negeri ini bersetuju untuk bersama menyertai pembentukan Malaysia.

“Cuma, kita mahukan layanan yang sewajarnya kita terima, bukan sekadar sebagai sebuah negeri atau wilayah berdaulat, bahkan sebagai ‘rakan kongsi’ pembentukan Malaysia, terutama membabitkan pemilikan dan pengurusan sumber asli yang harus dikongsi bersama seadilnya.

“Sarawak saiznya cukup luas walaupun populasinya tidak begitu besar (berbanding Semenanjung). Namun, kita memerlukan peruntukan besar bagi membangunkan negeri ini, terutama di kawasan pedalaman dan luar bandar,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam temu bual khas bersama kumpulan akhbar dan rangkaian televisyen Media Prima Berhad (MPB) di Wisma Bapa Malaysia, Petra Jaya sempena Sambutan Hari Sarawak 2018.

Abang Johari yang bertanggungjawab terhadap potfolio kewangan, perancangan ekonomi dan pengurusan sumber asli, berkata agenda pemerkasaan pembangunan dan sosioekonomi itu amat penting bagi memastikan kemajuan negeri ini setara dengan negeri lain, khususnya di Semenanjung.

“Sarawak dan rakyatnya berhak untuk sama-sama mengecapi nikmat kemajuan negara, seperti juga rakyat negeri lain. Malah, apabila kita merdeka dan bersama membentuk negara ini, matlamat utama kita adalah untuk membangun dan maju,” katanya.

Ada keistimewaan ‘terhakis’

Abang Johari mengakui di sebalik ‘kenangan manis’ sepanjang 55 tahun lalu itu, ada juga hak dan keistimewaan dijanjikan kepada negeri ini apabila bersetuju membentuk Malaysia, yang ‘terhakis’ atau ‘dilupakan’ secara tidak sengaja disebabkan proses pentadbiran ketika itu.

“Inilah maksud kenyataan Tun Jugah itu, jangan jadi seperi tebu, manis di mula tapi tawar di hujung. ‘Anak Sarawak’ sudah sedar kepentingan keistimewaan itu, malah usaha digerakkan bagi memastikan segala hak termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dihormati.

Namun, beliau percaya kepemimpinan Pusat ketika ini, termasuk kerajaan terdahulu cukup menyedari kepentingan hak berkenaan kepada Sarawak serta rakyatnya.

“Kita yakin pemimpin atasan sekarang cukup waras, cukup rasional untuk menimbang keperluan Sarawak, khasnya membabitkan sumber asli kita yang begitu penting bagi melaksanakan agenda kemajuan negeri ini.

“Yang penting, kita tidak mahu hubungan Sarawak-Pusat, keputusan kita bersama membentuk Malaysia menjadi seperti ‘tebu’. Ini yang kita mahu elakkan, kita hanya mahukan yang terbaik untuk Sarawak dan rakyatnya, setimpal dengan pengorbanan yang kita lakukan,” katanya.

Abang Johari yang juga Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) merangkap Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) juga yakin hubungan negeri ini dan Pusat terus utuh, walaupun kedua-duanya kini dikuasai dua entiti politik berbeza.

Ini bersandar prinsip kesalingbergantungan antara kedua-dua pihak untuk terus memastikan kemajuan negara terus berada pada landasan kukuh.

Malah, perbezaan ideologi politik tidak sedikit pun menimbulkan kekangan terhadap usaha memperkukuhkan hubungan baik Sarawak – Pusat, dengan meletakkan agenda kemajuan negeri dan negara pada tahap keutamaan tertinggi.

“Hubungan baik itu sebenarnya adalah asas kepada kemajuan negara, yang tentunya memberi kesan cukup signifikan terhadap Sarawak, begitu juga rakyatnya, termasuk proses perundingan hak dan keistimewaan negeri ini dalam MA63 yang kini memasuki fasa kedua,” katanya.

Related Articles

Leave a Reply