Home PolitikPAS /PPBM / LAIN Umno tetap jadi musuh politik PAS – Hadi Awang

Umno tetap jadi musuh politik PAS – Hadi Awang

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 17 Jul – Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengulangi pendirian PAS tidak akan bergabung atau menjalin kerjasama politik dengan Umno, walaupun kedua-dua parti itu membantah pelantikan speaker Dewan Rakyat secara bersama, semalam.

Presiden PAS itu bagaimanapun berkata, parti Islam itu akan bekerjasama dengan Umno dan Pakatan Harapan (PH) dalam perkara melibatkan kepentingan rakyat.

“Kita kerjasama dengan semua dalam perkara yang membawa kebaikan kepada rakyat.

“(Tetapi) Kita tak akan bergabung dengan Umno,” katanya selepas menghadiri upacara perasmian serentak Persidangan Penggal Pertama Parlimen ke-14 oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V, hari ini.

Hadi berkata demikian sebagai mengulas tindakan PAS dan Barisan Nasional (BN) membantah pelantikan bekas hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof sebagai speaker Dewan Rakyat, semalam.

Ahli Parlimen PAS dan BN mengambil keputusan keluar dewan secara bersama sebagai tanda protes terhadap pelantikan itu kerana mendakwa PH tidak menyerahkan nama speaker kepada setiausaha Dewan Rakyat sekurang-kurangnya 14 hari sebelum Parlimen mula bersidang.

Hanya Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin dan Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Seri Anifah Aman kekal dalam Dewan Rakyat.

Mereka mendakwa beberapa pemimpin serta menteri PH pada 2 Julai lalu berkata, kerajaan belum memutuskan siapa calon speaker Dewan Rakyat.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bagaimanapun mempertahankan pelantikan Ariff dengan berkata, PH menyerahkan nama calon speaker pada 2 Julai lalu.

Semalam, Setiausaha Dewan Rakyat, Datuk Roosme Hamzah turut mengesahkan pihaknya menerima notis pencalonan speaker pada 2 Julai lalu, iaitu 14 hari sebelum Dewan Rakyat mula bersidang.

Related Articles

Leave a Reply