Home Semasa Kerajaan negeri sedia taja tangan palsu adik Khumaira – Ahmad Samsuri

Kerajaan negeri sedia taja tangan palsu adik Khumaira – Ahmad Samsuri

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 14 Jul – Kerajaan negeri sedia menaja kos rawatan Nur Zulaikha Khumaira Zulkifli, 7, untuk mendapatkan tangan palsu agar kanak-kanak itu dapat meneruskan kehidupan dengan lebih baik.

Menteri Besar Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata beliau akan melawat kanak-kanak itu dalam masa terdekat.

“Semoga sumbangan yang tidak seberapa ini dapat membantu adik Khumaira meneruskan kehidupan seperti biasa. Diharapkan juga agar adik Khumaira dan keluarga tabah serta cekal menerima dugaan yang berat ini,” katanya menerusi catatan laman sosial Facebook beliau hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 9.30 malam semalam, mangsa putus tangan kiri selepas bajunya tersangkut pada rim motosikal ketika membonceng motosikal yang ditunggang kakak sepupunya, Noor Aina Hananie Razalie, 18, untuk ke rumah penghulu kampung bagi mendapatkan cop pengesahan permohonan pembiayaan pendidikan Yayasan Terengganu (YT).

Kemalangan di Kampung Binjai Bongkok dekat Marang itu menjadi tular dan mendapat perhatian rakyat Malaysia yang simpati dengan nasib malang kanak-kanak tersebut.

Nur Zulaikha Khumaira kini masih dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah.

Semalam, ketika ditemui Bernama, bapa kanak-kanak itu, Zulkifli Mohamad, 38, melahirkan kebimbangan ekoran keputusan awal doktor yang menyatakan kemungkinan anaknya tidak dapat menggunakan tangan palsu berikutan kecederaan yang dialaminya.

Related Articles

Leave a Reply