Home Semasa Jho Low dipercayai lari dari Macau

Jho Low dipercayai lari dari Macau

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 11 Jul – Ahli perniagaan Low Taek Jhow atau Jho Low yang sedang diburu berhubung siasatan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dipercayai telah melarikan diri dari Macau.

Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata pihaknya menerima maklumat itu menerusi e-mel daripada pihak berkuasa negara berkenaan dua hari lepas, namun destinasi seterusnya tidak diketahui.

Notis merah bagi memohon bantuan negara lain melalui Polis Antarabangsa (Interpol) menerusi saluran diplomatik telah dihantar pada Jun lepas, katanya ketika ditemui pada sidang media program derma darah sempena peringatan Hari Polis ke-211 di sini, hari ini.

Katanya PDRM telah menghantar pasukan ke Hong Kong bagi menjejaki Jho Low setelah dimaklumkan pihak berkuasa di sana, namun sebaik tiba, suspek dipercayai telah melarikan diri ke Macau melalui jalan laut.

Pada 5 Julai lepas, polis mengesahkan Jho Low yang sedang diburu berhubung siasatan skandal 1MDB sudah melarikan diri ke Macau.

Semalam, Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Mustafar Ali berkata Jho Low dipercayai menggunakan pasport negara lain berikutan pembatalan pasportnya pada 15 Jun lepas atas permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana suspek diperlukan bagi membantu siasatan.

Selain itu, Mohamad Fuzi berkata pihaknya menyasarkan seramai 400 anggota PDRM akan menderma darah hari ini berbanding 342 pada program sama tahun lepas.

Terdahulu, beliau menyampaikan sijil dan wang sagu hati kepada tiga anggota polis yang paling banyak menderma darah sepanjang hayat mereka.

Turut hadir Pengarah Pusat Darah Negara Dr Noryati Abu Amin.

Related Articles

Leave a Reply