Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Darat Kawalan keselamatan sempadan negara terus diperketat – Panglima 8 Briged

Kawalan keselamatan sempadan negara terus diperketat – Panglima 8 Briged

by Air Times News Network

KOTA BHARU, 10 Jul – Markas 8 Briged Infantri memperketat kawalan keselamatan sempadan daripada penyeludupan senjata api dan dadah terutama di Sungai Golok bagi mengelak pangkalan haram di sepanjang sungai itu kembali aktif.

Panglima 8 Briged, Brigedier Jeneral Muhammad Huzaimi Sabri berkata, kesemua 122 pangkalan haram telah ditutup sebelum ini dan tumpuan mereka kali ini adalah memastikan kesemua pangkalan haram itu tidak dibolosi semula.

“Tugasan mengawal sempadan sebelum ini sudah dijalankan dengan amat baik oleh anggota, namun masih ada ruang ruang yang perlu diperkemas dan mereka tidak boleh leka kerana ancaman sentiasa wujud.

“Cabaran utama perlu ditangani adalah isu lintas sempadan kerana kami bertanggungjawab menjaga sempadan Malaysia dan Thailand sepanjang 134 kilometer daripada aktiviti seludup termasuk barangan seperti gula, beras, tepung, minyak masak dan petrol,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Serah Terima Tugas Panglima 8 Briged dengan Pemangku Panglima 8 Briged, Kolonel Noorrul Azril Ariffin disaksikan Panglima 2 Divisyen, Mejar Jeneral Datuk Mohd Ramli Jaafar di Padang Kawad Markas 8 Briged, Pengkalan Chepa, hari ini.

Muhammad Huzaimi dilantik sebagai Panglima 8 Briged ke-24 yang baharu selepas bertugas sebagai Pengarah Latihan Markas Tentera Darat di Kementerian Pertahanan.

Related Articles

Leave a Reply