PORT DICKSON, 5 Jul – Koperasi Tentera Malaysia Berhad di sini dinaik taraf dengan kemudahan terkini bagi memberi keselesaan kepada para pelanggannya.
Pengerusinya, Mej Jen (B) Datuk Zulkiflee Mazlan berkata cawangan ke-12 daripada keseluruhan 24 cawangan di seluruh negara itu mampu memberi perkhidmatan kepada 6,000 anggota tentera di sekitar daerah ini pada satu-satu masa.
“Sebelum ini, koperasi yang terletak di daerah ini tidak mempunyai kemudahan yang lengkap, namun kini dilengkapi ruangan kaunter pembiayaan serta simpanan yang lebih selesa untuk kemudahan anggota. Keputusan berpindah ke premis baharu ini selari dengan usaha Koperasi Tentera untuk menambah baik kualiti perkhidmatan dan memperluaskan rangkuman kewangannya kepada anggota di Port Dickson.”
“Kami yakin dengan pembukaan cawangan ini, anggota di sekitar kawasan ini boleh berurusan dengan lebih efisien dan selesa,” katanya dalam ucapan perasmian Koperasi Tentera Cawangan Port Dickson, di sini, semalam.
Turut hadir, Panglima Markas 1 Briged Brig Jen Datuk Reduan Omar dan Komandan Akademik Tentera Darat Brig Jen Datuk Mas’od Muhammad.
Koperasi Tentera Malaysia Berhad Port Dickson mula beroperasi di bangunan baharu pada 8 Jan lepas.
Selain itu, menyentuh mengenai prospek koperasi itu tahun ini, Zulkiflee berkata ia dijangka menerima cabaran getir dalam menjana pendapatan daripada pasaran yang buat masa ini terhad kepada anggota tentera sahaja.
“Menyedari ini, Koperasi Tentera telah mengambil langkah dan mengatur strategi untuk mengembangkan pasaran pembiayaan ke sektor-sektor koperasi dan industri kecil dan sederhana.”
“Di samping itu, Koperasi Tentera turut menyediakan perkhidmatan Ar-Rahnu (Pajak Gadai Islam) di cawangan ini yang terbuka kepada orang ramai. Perkhidmatan Ar-Rahnu merupakan inisiatif koperasi untuk menyediakan saluran pinjaman tunai berlandaskan syariah kepada para pelanggan,” katanya.
Beliau menambah Ar-Rahnu Koperasi Tentera menawarkan pinjaman sehingga 70 peratus daripada nilai emas dengan upah simpan serendah 55 sen dan perkhidmatan cucian emas percuma.
Pada majlis tersebut, Koperasi Tentera turut menyampaikan sumbangan wang tunai RM1,000 kepada lima masjid dan surau iaitu Masjid Jamek, Masjid Depoh Askar Melayu PUSASDA, Masjid Kariah Kem Segenting, Surau Al Hidayah Institut Kejuruteraan Tentera Darat, Kem Si Rusa dan Surau Al Falah Rkat Ilmi.