Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Darat ATM gagalkan cubaan seludup 118kg ketum ke negara jiran

ATM gagalkan cubaan seludup 118kg ketum ke negara jiran

by Nurulhuda

PADANG TERAP, 4 Jul – Cubaan tiga lelaki menyeludup daun ketum seberat 118 kilogram (kg) ke negara jiran gagal apabila kegiatan mereka dikesan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang melakukan rondaan berhampiran Pos Sahara, dekat sini, malam tadi.

Panglima 6 Briged, Brig Jen Abdul Aziz Ismail, berkata dalam kejadian kira-kira jam 9 malam itu, pasukan 4 Rejimen Sempadan (4RS) yang sedang melakukan rondaan terserempak tiga motosikal yang ditunggang lelaki tidak dikenali.

“Pasukan rondaan yang diketuai Koperal Md Azizal Awang bersama tiga anggota kemudian mengarahkan penunggang motosikal terbabit berhenti untuk melakukan pemeriksaan.

“Namun, mereka mencampakkan bungkusan yang dibawa dan meninggalkan motosikal sebelum lari ke dalam semak berdekatan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Abdul Aziz berkata, pemeriksaan lanjut ke atas bungkusan itu mendapati terdapat tiga guni berisi daun ketum yang siap diikat dan dibalut dengan plastik lutsinar, dipercayai hendak diseludup ke Thailand.

Katanya, kegiatan penyeludupan di kawasan itu semakin meningkat kebelakangan ini berikutan harga pasaran dan permintaan yang tinggi di negara jiran.

“Kesemua barang rampasan termasuk tiga motosikal diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Terap untuk siasatan lanjut,” katanya.

Related Articles

Leave a Reply