Home Politik Janji bangkitkan semula UMNO – Dira Abu Zahar

Janji bangkitkan semula UMNO – Dira Abu Zahar

by Noor Sheila Amin

MELAKA, 3 Jul – Pelakon dan pengarah filem, Dira Abu Zahar menyifatkan kemenangannya sebagai Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO pada 30 Jun lalu membuktikan parti itu bersikap terbuka demi perubahan.

Bekas EXCO Puteri UMNO berusia 34 tahun itu, berkata ia turut membuktikan UMNO sentiasa mengambil perhatian terhadap fungsi golongan muda, terutama ketika parti itu diancam dengan pelbagai ‘gelora’ selepas kalah pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Beliau yang juga anak kepada bekas Ketua Menteri Melaka, Allahyarham Datuk Seri Abu Zahar Isnin, turut berjanji akan melakukan sebaik mungkin untuk mengembalikan kepercayaan rakyat, khususnya golongan muda kepada parti terbabit.

Katanya, beliau akan bekerja keras dan bekerjasama dengan barisan kepemimpinan UMNO lain dalam melaksanakan tugas yang bakal dipikul nanti.

“Mungkin UMNO ketika ini menghadapi krisis keyakinan selepas PRU-14, justeru perkara utama setiap ahli, terutama golongan muda seperti saya ialah menghayati semula asas perjuangan demi agama dan bangsa.

“Saya sendiri insaf UMNO ketika ini adalah sebuah parti pembangkang, sekali gus memaksa kita bekerja sebagai pembangkang yang mendahului rakyat,” katanya ketika dihubungi NSTP, hari ini.

Anak kelahiran Merlimau, Jasin itu berterima kasih kepada semua perwakilan UMNO seluruh negara dan menganggap pemilihannya sebagai MT UMNO mampu memberi nafas baharu untuk pembentukan semula parti keramat berkenaan.

“Saya yakin apa yang berlaku ada hikmahnya dan ini adalah masa untuk kami memperbetulkan apa yang khilaf dan mengembalikan semula keyakinan rakyat terhadap UMNO.

“Golongan muda yang masih ingin bersama dalam perjuangan UMNO amat berbesar hati kerana diberikan ruang dan peluang bagi membuktikan taat setia kepada parti, bukan untuk kepentingan peribadi.

“Mudah-mudahan setiap usaha yang dilakukan dalam saf kepemimpinan baharu ini akan diberkati Allah SWT dan UMNO akan kembali menawan hati rakyat pada PRU akan datang,” katanya.

Related Articles

Leave a Reply