Home SemasaGlobal Pindah pusat pentadbiran tentera: Amerika Syarikat tamatkan kehadiran di Seoul

Pindah pusat pentadbiran tentera: Amerika Syarikat tamatkan kehadiran di Seoul

by M.Daim

SEOUL, 1 Julai – Amerika Syarikat secara rasminya telah menamatkan kehadiran pasukan tentera mereka di Seoul dengan pemindahan operasi pangkalan dari Yongsan Garrison ke Camp Humphreys, Pyeongtaek. Kedudukan tersebut dikatakan di luar jarak tembakan artileri Korea Utara dan berada 70 kilometer dari ibu negara Korea Selatan.

Pemindahan tersebut sekaligus menamatkan kehadiran pasukan tentera negara itu di tengah-tengah ibu kota Korea Selatan selama 70 tahun.

Ibu pejabat pihak Tentera Amerika Syarikat di Korea Selatan telah diwujudkan pada 70 tahun lalu dan beroperasi di tengah-tengah bandar Seoul selepas Perang Dunia Ke-2 tamat.

Pembinaan ibu pejabat baharu yang menelan kos sebanyak USD$ 11 bilion itu merupakan pangkalan terbesar tentera Amerika Syarikat di luar Amerika.

“Pembinaan kompleks ibu pejabat baharu merupakan simbol komitmen Amerika Syarikat untuk berada di Koera Selatan,” kata Jeneral Vincent Brooks, Komander Pasukan Tentera Amerika Syarikat di Korea.

Presiden Korea Selatan, Moon Jae-in berkata pembentuk ibu pejabat baharu itu merupakan simbolik pengukuhan hubungan Korea Selatan-Amerika Syarikat.

Beliau turut berharap, hubungan antara Seoul dan Washington akan berkembang lebih jauh.

Menurut profesor keselamatan di Pyeongtaek Universiti, Yun Jiwon pemindahan ibu pejabat tersebut merupakan langkah bijak oleh Amerika Syarikat.

Menurut beliau, kedudukan ibu pejabat lama di tengah-tengah kawasan populasi yang padat akan menyukarkan operasi dan kesiapsiagaan pasukan tentera Amerika Syarikat.

“Peperangan moden memerlukan fokus dan atur gerak tentera yang lebih cepat. Pemindahan pangkalan tentera ke Pyeongtaek akan meningkatkan tahap kesiagaan dan juga menjadikan operasi ketenteraan lebih efisien berbanding di ibu pejabat lama,” kata Yue Jiwon.

Tanah Yongsan Garrison akan diserahkan kepada pihak Korea Selatan dan dirancang untuk dibangunkan oleh pihak Seoul.

Kawasan Yongsan merupakan antara lokasi bersejarah dalam Korea Selatan. Pada lewat abad ke-19, tentera China telah menggunakan kawasan tersebut sebagai pangkalan dalam Insiden Imo 1882. Insiden tersebut menyaksikan rusuhan anggota tentera Korea dan menawan istana Changdeokgung. Insiden tersebut dilihat sebagai titik kebangkitan Korea dalam pemerintahan kuasa asing.

Pada era Perang Dunia Ke-2, kawasan tersebut telah ditadbir oleh pihak Tentera Imperial Jepun semenjak 1910 sehingga 1945.

Amerika Syarikat mengambil alih tanah tersebut selepas tamatnya Perang Dunia Ke-2. Pada tahun 1949, Tentera Amerika Syarikat mula berundur dari Korea Selatan. Namun begitu, Perang Korea telah membawa kembali kehadiran Tentera Amerika Syarikat di Korea Selatan.

Pusat Pemerintahan Tentera Amerika Syarikat secara rasminya ditubuhkan di Yongsan pada tahun 1957.

Kem Humprey, lokasi baharu pusat pemerintahan tentera disifatkan bandar Amerika dalam Korea Selatan. Kawasan kem tersebut dilengkapi dengan pelbagai kemudahan termasuk restoran makanan segera, pawagam, sekolah dan tempat tinggal khusus untuk anggota tentera Amerika Syarikat yang berkhidmat di Korea Selatan.

 

Related Articles

Leave a Reply