Home Pertahanan dan Keselamatan Kibar bendera parti untuk elak pemeriksaan keselamatan

Kibar bendera parti untuk elak pemeriksaan keselamatan

by M.Daim

LAHAD DATU, 1 Julai –  Tindakan mengibarkan bendera parti tidak akan memberi sesiapapun kuasa imuniti sebaliknya boleh diambil tindakan sekiranya menyalahi undang-undang negara. Perkara tersebut ditegaskan oleh Ketua Warisan Sabah (Warisan) Bahagian Silam, Datuk Mohammadin Ketapi .

Beliau berkata demikian berikutan terdapat laporan wujudnya kapal dan bot nelayan di sini yang memasang bendera parti dan dikatakan enggan melalui pemeriksaan penguatkuasaan keselamatan.

Menurutnya, tindakan pihak-pihak yang sengaja mempergunakan identiti parti bagi mencapai matlamat mereka merupakan satu tindakan yang sengaja mahu berselindung disebalik kegiatan mereka.

Beliau turut bertegas bahawa ianya satu tindakan yang menyalahi undang-undang.

“Apabila dikibarkan bendera parti politik, tidak akan menjamin kekebalan, tidak ada sesiapa yang imuniti daripada penguatkuasaan undang-undang di sini,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Silam berkata demikian ketika ditemui media di Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri, Kaamatan dan Gawai Batalion 17 Pasukan Gerakan Am (PGA) Lahad Datu, semalam.

Mohammadin turut berkata, “tindakan itu salah. Tidak bermakna ada bendera mereka boleh bebas melakukan apa sahaja. Patuhi sahaja undang-undang negara”.

Pada Khamis lalu, Pihak Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) mengesan kapal-kapal dan bot nelayan yang mengibarkan bendera politik di perairan yang dikhuatiri dijadikan objek kekebalan mereka pada penguatkuasaan undang-undang.

Related Articles

Leave a Reply